
Mforce Bike Holdings (Mforce) berjaya menganjurkan pameran motosikal tersendiri yang dikenali sebagai Mforce MotoXperience 2026 semasa acara Malaysia Bike Show 2026 di MAEPS, Serdang di Selangor.
Acara yang berlangsung mulai 29 Mei sehingga 1 Jun 2026 di Dewan A itu menunjukkan Mforce menunaikan impian menganjurkan acara pameran motosikal tersendiri yang pernah mereka umumkan sebelum ini.
Himpunan 23 jenama, Lebih 100 model, Ada jenama baharu?
Mforce MotoXperience menghimpunkan lebih 100 model motosikal yang menggunakan label 23 jenama berbeza. Senarai jenama ada di hujung artikel.
Ada beberapa jenama termasuk model baharu yang dibawa khas untuk tinjauan awal di Malaysia seperti Victoria, Mondial dan SWM. Tiga jenama berkongsi ruang pameran dengan WMOTO.
Mforce sambut 2 jenama baharu

Selain itu, Mforce juga menyempurnakan serahan dokumen perjanjian persefahaman yang mengesahkan mereka selaku pengedar rasmi jenama ZXMOTO dan LETBE di Malaysia.
Nampak gaya, jenama LETBE atau barisan produk mereka akan diperkenalkan Mforce tidak lama lagi.
Bukan hanya skuter dan motosikal pelbagai jenis, Mforce juga mempamerkan koleksi kelengkapan penunggang dan aksesori motosikal berjenama LS2, YHPRO dan minyak pelincir Mforce Oil.

Mforce lancar 15 model baru dalam sehari!
Lancar 15 model dalam tempoh sejam dua?
Rasanya ini belum pernah dibuat mana-mana pengeluar atau pengedar motosikal di Malaysia. Ini sama seperti apa Mforce lakukan semasa Malaysia Autoshow 2024 dengan pelancaran 18 model dalam tempoh sehari.
Senarai model baharu dilancarkan
- Morbidelli: skuter VIZY 125 dan SC200SR termasuk cruiser C252V
- ARIIC: Skuter Touch 250 dan GOBI 250
- CFMOTO: Adventure touring 1000MT-X dan sportbike 750SR-S
- VOGE: Adventure touring DS625X dan DS800X RALLY
- CYCLONE: Skuter RT2S dan RT5
- WMOTO: Skuter GRIFFIN 205
- SYM: Skuter HUSKY 200
- BRIXTON: Cruiser 625V dan skuter MOUCCA 250
Senarai Jenama di Mforce MotoXperience 2026

Benelli, Keeway, BENDA, Morbidelli, QJMOTOR, SYM, WMOTO, EZI, VOGE, Brixton Motorcycle, Moto Morini, CFMOTO, ZEEHO, ARIIC, YADEA, Cyclone, Kamax, X-Wedge, MForce Tactical, LETBE, SWM, Victoria, Mondial dan ZXMOTO.
6 sesi cabutan bertuah
Macam-macam aktiviti disediakan sepanjang empat hari penganjuran. Ini termasuk sesi tunggang uji, pameran motosikal, jualan barangan rasmi, permainan interaktif serta aktiviti jualan dan pengambilan tempahan motosikal.
Ada juga konsert Rev & Rhythm: Black Hanifah dan sesi bertemu (Meet & Greet) tim VOGE AS25 Racing Team.

Tak lupa juga enam sesi acara cabutan bertuah (dua sesi sehari) yang menyaksikan pelbagai model motosikal, skuter serta helmet dibawa pulang individu bertuah. Khabarnya, jumlah hadiah diberikan bernilai RM300,000.





