Mforce jadi pengedar eksklusif jenama ZXMOTO di Malaysia, bakal lancar 3 model?

Perbincangan untuk memperkenalkan jenama ZXMOTO di pasaran Malaysia sebenarnya bermula sejak tahun lalu. Bukannya selepas mereka jadi popular gara-gara kemenangan berganda di Portimao.

Pengasasnya, Zhang Xue ada turun ke Malaysia pada Oktober 2025 untuk bertemu dengan pihak Mforce Bike Holdings (Mforce), melawat fasiliti pemasangan motosikal Mforce serta mengadakan perbincangan bisnes.

Khabarnya, ada syarikat motosikal lain mengadakan pertemuan dengan Zhang Xue di Malaysia namun, beliau memilih Mforce untuk menjalin kerjasama eksklusif memperkenalkan ZXMOTO di negara ini serta potensi pasaran lain.

3 Model Jalani Ujian di Malaysia

Bermula awal tahun ini, ZXMOTO mengirim tiga model motosikal mereka ke kilang Mforce untuk menjalani ujian ketahanan sebenar di Malaysia.

Ini amat penting kerana ujian di Tanah Air sendiri bertujuan memastikan model ditawarkan nanti memenuhi piawaian prestasi yang ditetapkan, berdaya tahan serta sesuai untuk keadaan jalan raya serta iklim tempatan.

ZXMOTO Debut di Malaysia Bike Show 2026

Ketua Pegawai Operasi Mforce, Asri Ahmad menyatakan jenama ZXMOTO akan membuat kemunculan rasmi di Malaysia 29 Mei ini di Malaysia Bike Show 2026.

Debut itu akan diiringi dengan beberapa model lain termasuk jentera berprestasi tinggi untuk tontonan peminat.

Antaranya ialah model motosikal yang meraih dua kemenangan (double victory) dalam kelas WorldSSP di pusingan Portugal Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) pada akhir Mac lalu.

Zhang Xue Akan Hadir?

Selain membawa dan memperagakan motosikal ZXMOTO, pengasasnya juga dilaporkan akan berada di Malaysia Bike Show 2026. Ini satu peluang untuk peminat untuk bertemunya.