
Brixton Motorcycles Malaysia (Brixton Malaysia) akan meluaskan tawaran motosikal berkuasa tinggi dengan rancangan menawarkan model cruiser mewah yang dipanggil K750GT.
Seperti disaksikan baru-baru ini, motosikal itu adalah salah satu daripada tiga model yang akan diuji selama tiga bulan dalam program Proof of Concept (PoC) pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kalau di luar Malaysia, model itu dikenali sebagai Jedi Kirin 750 (turut dikenali GTR750 dan JD750-K), Jawa JD 750 K Touring dan juga Mash GT750. Dan mungkin juga ada lagi nama lain di tempat berlainan.
Di Malaysia, Brixton K750GT akan mula diperkenalkan kepada pengguna atau orang awam menjelang tahun 2027.
Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike Holdings, Asri Ahmad menjelaskan harga badan yang dirancang adalah di bawah paras RM40,000 setiap satu.
Tapi sebelum tawaran rasmi kepada pengguna, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM sudah menerima dua unit awal untuk program PoC.
Ini bukan satu benda baharu untuk motosikal keluaran Jinan Jedi Motorcycle Technology Co Ltd di China kerana banyak produk mereka dijadikan aset penugasan pihak berkuasa dan penguat kuasa serta agensi penyelamat pelbagai negara.
Satu perkara perlu dinyatakan ialah model motosikal ini ada mendapat sentuhan kumpulan pereka dari Itali. Penekanan pada waktu itu adalah menghasilkan motosikal untuk kegunaan di Eropah dan China.
Ada beberapa maklumat diperoleh tentang Brixton K750GT. Motosikal ini akan menggunakan enjin dua silinder sebaris 730cc DOHC dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.
Kuasa dihasilkan 69kw dengan tork 55Nm. Kotak gear klac manual 6-kelajuan dengan tambahan slipper clutch. Sistem pacuan jenis rantai.
Fork digunakan jenis USD (terbalik) dan monoshock belakang dengan sambungan multilink boleh laras.
Tangki minyak 24 liter dan ketinggian pelana 780mm. Berat kering motosikal 270kg. Sistem brek cakera untuk roda depan dan belakang.











