#MalaysiaBikeShow: Morbidelli SC200SR (2026) skuter terbaharu masuk pasaran Malaysia, 3 warna pilihan, harga mula RM7,988

Morbidelli SC200SR 2026 #MalaysiaBikeShow 2026

Selepas membuat kemunculan di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2025, skuter Morbidelli SC200SR (2026) dilancarkan di pasaran Malaysia semalam.

Harga badan yang diumumkan adalah sebanyak RM7,988 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan caj pendaftaran.

Morbidelli SC200SR (2026) diperkenalkan serentak bersama skuter Morbidelli Vizy 125 dan cruiser Morbidelli C252V.

Morbidelli SC200SR 2026 #MalaysiaBikeShow 2026

Pilihan warna disediakan untuk Morbidelli SC200SR ada tiga iaitu Kingfisher Green (hijau), Bulk Black (hitam) dan Sprint Purple (ungu).

Kami merasakan Morbidelli SC200SR mungkin akan jadi model pengganti kepada MBP SC150SR (2024) yang pernah dibawa ke Malaysia untuk tontonan umum dua tahun lalu (lihat gambar bawah).

morbidelli sc150sr

Morbidelli SC200SR diperkenalkan tepat pada masanya iaitu pada ketika ramai pengeluar skuter berjenama China aktif memperkenalkan produk masing-masing untuk kelas 155cc hingga 180cc.

Di Malaysia, antara model (dalam julat kapasiti sama) dimaksudkan sudah tentunya QJMOTOR AX200S, Aveta NOVA 200, Aveta Viper 180, WMOTO Griffin 200 Pro, WMOTO Nexy 180 dan juga Keeway XDV 180.

Ini adalah perincian Morbidelli SC200SR yang dilancarkan semalam:

  • Enjin jenis satu silinder 169cc SOHC 4 injap dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api.
  • Kuasa dihasilkan ialah 15.9hp @ 8,000rpm dengan tork puncak 15.1Nm @ 7,000rpm.
  • Sistem gear jenis CVT.
  • Meter LCD dan ada dua soket pengecas USB (Type A dan Type C).
  • Fork depan jenis teleskopik biasa, jarak travel 82mm.
  • Absober tunggal belakang boleh laras (prabeban) dengan jarak travel 32.5mm.
  • Brek depan cakera tunggal 260mm kaliper 2 piston
  • Brek belakang cakera 233mm kaliper 1 piston.
  • Ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) depan-belakang dan ada teknologi Kawalan Cengkaman (TCS). Tambahan lain ialah TPMS.
  • Rim aloi digunakan berukuran 13 inci dengan balutan tayar 120/70 (depan) dan 130/70 (belakang).
  • Tinggi pelana 800mm, tangki minyak 7.8 liter dan berat kasar cuma 142kg.
  • Dimensi panjang 1,990mm, lebar 765mm dan tinggi 1,160mm.
  • Jarak bumi 125mm.

Galeri Gambar Morbidelli SC200SR (2026)