#MalaysiaBikeShow: Moucca 250 model skuter pertama jenama Brixton di Malaysia, ada 4 warna, harga badan RM12,888

Brixton Moucca 250 (2026) #MalaysiaBikeShow

Skuter misteri tertera label Moucca yang pernah kami kongsikan di Facebook pada awal bulan ini nampaknya adalah model skuter pertama untuk jenama Brixton.

Brixton Moucca 250 (2026) dilancarkan bersama cruiser Brixton 625V di Malaysia Bike Show 2026. Model ini terletak dalam Dewan A.

Berapa Harga Brixton Moucca 250?

Harga Brixton Moucca 250 ialah RM12,888 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

Berapa Pilihan Warna Brixton Moucca 250?

Ada empat pilihan warna disediakan iaitu Mint Green (hijau), Clockwork Orange (oren), Enduro White (putih) dan Backstage Black (hitam).

Brixton Moucca 250 Guna Enjin Apa?

Berdasarkan maklumat diperoleh, skuter ini akan menggunakan enjin berkapasiti 250cc keluaran pihak Zongshen (juga dipanggil Zonsen). Enjin sama yang banyak digunakan pelbagai model skuter dalam kategori 250cc.

Siapa Peminat Brixton Moucca 250?

Brixton Moucca 250 ini disasarkan kepada mereka yang meminati skuter gaya retro moden dan ekspresi gaya hidup aktif.

Siapa Pesaing Brixton Moucca 250?

Model ini dijangka menjadi pilihan baharu untuk pengguna dengan harga lebih mampu milik berbanding beberapa model popular terutamanya jenama warisan Itali seperti Lambretta dan Vespa.

Spesifikasi Brixton Moucca 250 (2026)

  • Sistem lampu LED penuh. Meter jenis TFT berwarna.
  • Enjin satu silinder 244cc dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.
  • Output kuasa 18kW @ 8,250rpm. Tork puncak 24Nm @ 6,500rpm.
  • Kotak gear jenis CVT.
  • Suspensi jenis fork teleskopik dengan set absober berkembar.
  • Sistem henti jenis brek cakera tunggal untuk roda depan dan belakang.
  • Rim 12 inci dibalut tayar saiz 120/70 depan belakang.
  • Tangki minyak 11.5 liter.
  • Tinggi tempat duduk 750mm.
  • Berat kasar 130kg.
  • Jarak bumi 140mm.

Galeri Gambar Brixton Moucca 250