
Motosikal CFMOTO 1000MT-X membuat kemunculan di Pameran Motor Milan (EICMA) 2025 bertempat di Itali pada awal bulan ini.
Seminggu kemudian, kami berpeluang melihat model adventure touring itu secara dekat semasa berkunjung ke ibu pejabat global CFMOTO di bandar Hangzhou, wilayah Zhejiang di China.

Model CFMOTO 1000MT-X sebenarnya nampak seakan-akan CFMOTO 800MT-X tetapi memiliki kapasiti enjin yang lebih besar iaitu menghampiri 950cc.
CFMOTO 1000MT-X dipacu konfigurasi enjin 2-silinder 947cc versi baharu dari KTM LC8c (sama macam model KTM 990 Duke dan 990 RC R).

Trenkuasa ini membantu memastikan CFMOTO 1000MT-X berupaya menjaya kuasa yang agak tinggi iaitu 111.3hp semasa berada pada 8,500rpm manakala tork puncak 105Nm boleh dinikmati pada 6,250rpm.
Di bahagian bawah enjin, nampaknya model ini ada didatangkan dengan plet pelindung enjin.
Motosikal seberat 222kg ini didatangkan dengan dua warna pilihan iaitu Zephyr Blue (biru) dan Tactical Green (hijau).

Semasa lawatan kami di Ibu Pejabat Global CFMOTO, seunit motor dengan pilihan warna hijau disediakan untuk kami membolehkan kami membuat rakaman video serta gambar.
Warna Tactical Green ini dipadankan dengan rona hitam pada bahagian lain motosikal termasuk fork, tangki minyak, swingarm, rim, balutan tempat duduk sehingga peredam ekzos.

Bahagian depan CFMOTO 1000MT-X nampak hampir sepenuhnya seperti model 800MT-X. Ini termasuk reka bentuk wajah depan, hand guard, penghadang angin sehingga bentuk lampu signal belok.
Sistem pencahayaan yang digunakan pada model CFMOTO 1000MT-X adalah jenis LED penuh membabitkan lampu depan, lampu nyalaan siang (DRL) depan, lampu signal depan-belakang dan lampu brek.
Penghadang angin (windshield) boleh dilaras secara manual dengan memusingkan tombol di bahagian tepi. Ini boleh dilakukan dengan sebelah tangan.
Sistem pencahayaan digunakan jenis LED penuh untuk bahagian depan dan belakang. Model 1000MT-X juga dilengkapi gard tangan (hand guard) secara standard.
Konsol sebelah kanan menempatkan butang pemula dan pemati enjin serta butang lampu henti kecemasan (hazard light).
Konsol sebelah kiri dilengkapi butang tetapan dan pengaktifan Kawalan Jelajah (Cruise Control) serta butang untuk akses tetapan dan menu lain dengan menggunakan gugusan butang 4 anak panah.
Nampak seperti ada fungsi arahan suara menerusi butang bulat di tengah-tengah konsol kiri. Butang lampu signal belok dan hon ada di tempat biasa.
Tidak banyak boleh kami kongsikan tentang insrumen meter kerana tiada kunci diberi untuk mengaktifkan motosikal CFMOTO 1000MT-X.
Apa yang pasti, instrumen meter diposisikan secara menegak seperti motosikal rali dan skrin yang digunakan berukuran 8 inci siap berwarna.
Ada dua sambungan soket USB iaitu jenis Type-A dan Type-C disediakan di sebelah kiri meter CFMOTO 1000MT-X. Motosikal ini masih menggunakan kunci konvensional (anak kunci).
Meter motosikal ini boleh bersambung dengan TBOX tetapi ciri itu ditawarkan sebagai opsyen yang memerlukan sejumlah bayaran.
Bar hendal CFMOTO 1000MT-X jenis mendatar-panjang dengan cermin sisi mengapit bar hendal. Di bahagian tengah, nampaknya bar hendal disambung dengan damper jenis boleh laras.
Aspek imbangan tunggangan motosikal diserahkan kepada dua komponen berjenama Kayaba (KYB) iaitu fork depan terbalik (USD) berukuran 48mm dan sistem penyerap hentak tunggal (atau monoshock).
Fork depan dan absober monoshock KYB ini boleh anda laras ikut cita rasa sendiri. Berdasarkan maklumat dua komponen ini boleh dilaras sepenuhnya.
CFMOTO 1000MT-X dipacu enjin 2-silinder sebaris 946.2cc DOHC 8-injap dengan sistem suntikan bahan api.
Kepanasan enjin dikawal dengan menggunakan kaedah sistem sejukan cecair. Output kuasa maksimum enjin ialah 113hp @ 8,500rpm dan tork puncak 105Nm @ 6,250rpm.
CFMOTO 1000MT-X menggunakna rim jenis spokes (multi-jejari) dengan roda depan bersaiz 21 inci dengan padanan tayar berukuran 90/90R.
Rim belakang bersaiz 18 inci dan menerima balutan tayar bersaiz 150/70R. Tayar standard didatangkan bersama 1000MT-X ialah Pirelli Scorpion Rally STR dwi-kegunaan.
Roda depan menggunakan brek cakera berkembar berukuran 320mm dan kaliper Brembo 4-piston siap dengan Sistem Brek ABS dan ABS Belokan (cornering ABS).
Brek belakang jenis cakera tunggal 260mm dengan kaliper Brembo 2-piston. Ada Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) Bosch dengan tiga peringkat kawalan.
Ada dua ketinggian tempat duduk untuk CFMOTO 1000MT-X iaitu 870mm untuk versi high seat dan 830mm untuk low seat. Besar kemungkinan Malaysia akan terima versi low seat dengan opsyen high seat.

Tangki minyak CFMOTO 1000MT-X berkeluasan 22.5 liter.
Ukuran motosikal adventure ini ialah panjang 2,288mm, lebar 945mm dan tinggi 1,426mm hingga 1,476mm. Jarak roda pula 1,525mm
Artikel lain:
- #EICMA2025: CFMOTO 1000MT-X tampil dengan enjin KTM LC8c versi baru
- #EICMA2025: CFMOTO 1000MT-X CRAFTED jadi model tayangan khas di Itali
KOLEKSI GAMBAR CFMOTO 1000MT-X


























































