Nama Modenas kembali menjadi sebutan dengan satu lagi kisah tentang supermoped mereka. Katanya, motor yang ditunggu sekian lama akan dilancarkan tidak lama lagi.
Ada juga video menunjukkan kapcai super Modenas berselimut dalam celoreng ‘kuda belang’ itu sedang diuji di satu laluan bertar.

Dan pada Selasa-Rabu lalu, kawan-kawan rakan media dibawa Modenas untuk melihat model itu secara dekat di Gurun, Kedah. Sempat menunggangnya dan mendengar penerangan mengenai supermoped ini. Mereka kemudian berkongsi info dalam laporan masing-masing.
APA INFO TERBARU SUPERMOPED MODENAS?
Jika anda baca laporan dari Paultan dan Mekanika, ada beberapa maklumat penting mengenai supermoped Modenas ini. Antaranya:
- Supermoped ini belum ada nama rasmi. Buat masa ini, ia dipanggil ZT150
- Enjin dianggarkan berkapasiti 150cc dan motor akan lancar di MotoGP Malaysia 2025 (Oktober) nanti
- Reka bentuk ada gaya macam Kawasaki – Sugomi dan Ram Air (walaupun hiasan)
- Sistem pencahayaan LED depan-belakang, ada lampu DRL
- Brek cakera depan-belakang tapi sistem ABS hanya hanya ada di roda depan
- Mungkin eksport ke pasaran luar guna nama Kawasaki
- Harga untuk pasaran Malaysia dikatakan berpatutan
BUKAN SUPERMOPED PERTAMA MODENAS
Macam kita ketahui, Modenas ZT150 ini bukannya projek supermoped pertama dari Modenas.
Projek pertama mereka sebenarnya sudah dihentikan semenjak tahun 2019 dan motosikal dengan casis merah itu tidak berpeluang untuk dijual.
Tahun 2019 itu adalah tahun sama Kawasaki meningkatkan pegangan saham sehingga 30 peratus dalam Modenas.
Supermoped yang Modenas sedang uji sekarang (celoreng kuda belang) ialah projek supermoped kedua mereka dengan penglibatan pihak Kawasaki.
SUPERMOPED MODENAS MASIH RELEVAN?
Ini satu soalan yang banyak diperkatakan. Ada yang kata ia sudah terlambat, ada pula yang rasa masih perlu. Modenas pernah ulas isu ini beberapa tahun lepas.
Kalau melihat pada keadaan sekarang, Modenas memang memerlukan model supermoped ini ada di pasaran. Jom lihat dua keadaan di bawah ini:
Keadaan Dulu
- Suatu masa dulu, nama Modenas pernah berada di puncak industri sekitar tahun 1999-2002 sebelum dipintas Honda dan akhirnya Yamaha pula menerajui pasaran dengan dominasi lebih 50 peratus pegangan.
Keadaan Kini
- Purata jualan motosikal dan skuter Modenas ialah antara 2,300 unit hingga 2,800 unit sebulan sepanjang separuh pertama tahun 2025. Dalam kedudukan ranking, Modenas ada di tangga keempat selepas Yamaha, Honda dan MForce.
Semua orang tahu, Modenas sudah lama berkampung dalam liga 110cc (Kriss 110) dan pada awal tahun ini, mereka mula sertai saingan kelas 125cc dengan adanya model Kriss 125 FI.
Sasaran untuk bersaing dalam segmen kapcai 150cc dipilih atas sebab inilah kategori yang menunjukkan pertumbuhan terpantas di Malaysia. Kawasaki pula ada penglibatan dalam.projek ZT150.
Penjelasan di atas ialah dari Modenas pada tahun 2022.. Tempoh yang dijanjikan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan bakal menjadi kenyataan.
Tapi tempoh tiga tahun berlalu sudah mula menampakkan perubahan…..
CABARAN SEMASA SEGMEN 150CC
Segmen 150cc memang ada beberapa pencabar ternama dengan barisan model motosikal yang diyakini ramai. Pertama ialah Yamaha dengan Y15ZR. Honda pula memunculkan model dipertingkat Winner X dan ada juga RS150R.
Cabaran juga datang dari jenama China, VOGE FR150 Formica Rossa yang ada kelebihan dari aspek harga, teknologi keselamatan dan ciri moden.
Pelumba-pelumba jentera VOGE FR150 sudah menginjak podium walaupun belum sampai setahun mereka berlumba dalam Kejohanan Cub Prix dan ARRC 2025.
Bukan semua motor dari China itu tak setanding Jepun. Banyak komponen motosikal kini dibangunkan dan dikilangkan di China walaupun untuk jenama terkemuka dunia macam BMW.
Antara pengilang China yang membangunkan dan mengeluarkan motosikal untuk pasaran global termasuk Malaysia ialah Zongshen dan Loncin. Malah Zongshen adalah rakan bisnes Modenas.
Banyak syarikat dari negara lain juga membeli motosikal dari China. Hanya perlu tampal jenama sendiri (rebadge) dan jual di pasaran mereka. Biasanya ini banyak melibatkan motosikal dan skuter kapasiti rendah hingga sederhana.
Ada juga syarikat meminta pengilang di China membuatkan model motosikal mereka. Apa yang pelanggan nak semua boleh dibuat.
Biasanya, kualiti dan semua ciri yang ada pada motosikal itu diseimbangkan dengan kos yang sanggup dibayar mana-mana pelanggan (syarikat).
Artikel: Perang Supermoped 150cc Bermula Tahun 2025?
SEGMEN KAPCAI 150CC BAKAL KUNCUP?
Ini satu perkara dikatakan mungkin sedang berlaku dalam pasaran Malaysia. Sedar tak sedar, ada dua perang besar sedang berlangsung yang mungkin boleh memberi kesan kepada segmen kapcai.
Pertama, perang skuter yang membabitkan kedatangan beberapa model dan jenama baru. Disusuli pula perang motosikal sport dan naked yang baru bermula.
Dua perang ini menguntungkan pengguna sebabnya pilihan kini terbuka lebih luas dan ada beberapa model skuter, naked bike dan sportbike antara 150cc hingga 250cc dijual dengan harga badan bawah RM10,000. Contohnya:
- QJMOTOR AX200S – RM7,988
- Aveta NOVA 160 – RM7,988
- Keeway XDV 180 EVO – RM9,388
- CFMOTO 250NK Lite – RM9,888
- QJMOTOR SRK 250 S – RM9,888
- QJMOTOR SRK 250 R – RM9,988 (untuk 1,000 pembeli pertama)
Malah segmen skuter juga kian berkembang dan sudah menampakkan trend pengguna kapcai beralih ke segmen skuter.
Kalau ikutkan laporan data, segmen skuter dikatakan berkembang lebih 3 peratus dan motosikal pula merosot 5.3 peratus untuk tempoh 6 bulan pertama 2025.
Tempoh sama yang menyaksikan lebih banyak pengenalan jenama dan model skuter baru seperti Zontes, MODA, ARIIC, SYM, Keeway, KYMCO dan Yamaha.
KEDATANGAN SUPERMOPED 185 & 200CC?
Ini juga satu segmen baru yang akan berkembang tidak lama lagi. Peluang pilihan baru untuk pengguna dan satu lagi ‘cabaran’ baru untuk pemain-pemain dalam liga 150cc.
Kru kami mendapat informasi baru menyatakan akan ada sekurang-kurangnya dua supermoped (mungkin juga tiga) dengan kapasiti enjin lebih 155cc akan diperkenalkan di pasaran Malaysia dalam masa beberapa bulan lagi.
Pertama ialah model generasi baru SYM VFE 185i iaitu model pengganti SYM VF3i dengan anggaran harga badan bawah RM10,000. Model ini menggunakan enjin 183cc dan sudah kami laporkan.
Model kedua ialah supermoped 200cc yang masih dalam fasa pembangunan oleh sebuah syarikat motosikal di Malaysia.
Maklumat tambahan mengenainya model dalam kategori 200cc ini masih berstatus rahsia tetapi motor itu dibangunkan untuk pasaran Malaysia.
Susah nak cakap apa akan berlaku dalam segmen supermoped 150cc dalam tempoh beberapa bulan lagi. Adakah:
- Saiz pasaran akan jadi lebih kecil tetapi pemain semakin bertambah termasuk kedatangan Modenas dan AFAZ?
- Pengguna muda kurang berminat membeli motosikal dengan klac tangan?
- Skuter jadi medium pengangkutan lebih disukai sebab banyak pilihan model, harga murah dan lebih menyenangkan?
- Modenas ZT150 akan dijenamakan sebagai model Kawasaki dan dieksport ke pasaran luar? Mungkin sama strategi macam model skuter rebadge Modenas Karisma yang dijenamakan sebagai Kawasaki Brusky di Filipina?
Ini sekadar pandangan kami. Apa anda rasa akan berlaku?




