Honda RS-X Winner (2025) dengan klac Assist & Slipper lancar dengan harga RM9,998

Honda RS-W Winner sudah dilancarkan di Malaysia tapi bukan sebagai satu model baru. Sebenarnya RS-X Winner ini lebih kepada model naik taraf berbanding RS-X.

Sebelum bercerita tentang apa yang Boon Siew Honda buat, kita kongsikan maklumat asas dulu iaitu harga dan berapa warna disediakan untuk bakal pembeli Malaysia.

Honda RS-X Winner (2025) dijual dengan empat warna – kelabu, biru, hijau dan kuning khas. Harga untuk Honda RS-X Winner terbahagi mengikut warna motosikal seperti ini:

  • Kuning khas: RM10,298
  • Kelabu, biru, hijau: RM9,998

Perbezaan harga RM300 (berbanding warna kuning) membabitkan warna saja. Tak ada ciri-ciri tambahan lain kerana setiap warna dilengkapi spesifikasi sama.

Harga ini belum dikira insurans, cukai jalan dan kos-kos berkait pendaftaran motosikal.

Kenyataan Boon Siew Honda mengatakan ada tujuh perkara baru untuk RS-X Winner dan ini ringkasan maklumatnya:

  1. Enjin 150cc baharu
  2. Klac Assist & Slipper
  3. Sistem kunci pintar Honda
  4. Port pengecas USB
  5. Gaya sport agresif
  6. Reka bentuk suis hendal berasingan
  7. Reka bentuk rim tetuang gaya sport

Enjin

Honda RS-X Winner bukannya mendapat satu enjin baru sepenuhnya. Apa perubahan dijelaskan ialah ada satu saluran baru membolehkan pelinciran (minyak hitam) berjalan secara berterusan di lifter tensioner.

Saluran ini boleh dilihat di sebelah kiri enjin Honda RS-X Winner (di blok silinder). Tiada  maklumat dikongsi tentang naik taraf balancer (material buatan atau getah pada balancer).

Klac

Satu perubahan yang bagus dibuat Boon Siew Honda kerana ciri ini menjadikan penukaran gear lebih lembut dan lancar dengan klac A&S (Assist & Slipper).

Kunci pintar

Honda RS-X Winner sudah dapat sistem keyless dan tidak lagi guna anak kunci seperti kapcai Honda RS-X 150 lama.

Tempat masuk anak kunci diganti dengan satu tombol plastik berwarna hitam untuk mengunci tengkuk dan menghidupkan atau mematikan kuasa elektrik ke sistem motosikal.

USB

Port USB dipasang sebelah kiri (selari dengan tempat kunci keyless) ini membolehkan penunggang cas bateri telefon mereka. Jenis port USB ialah Type A dan dilindungi dengan satu penutup getah untuk menghalang air masuk.

Reka bentuk sport

Reka bentuk Honda RS-X Winner (2025) berubah sedikit di bahagian kepala, dada depan dan inlet tengah di bawah meter (antara meter dan tempat duduk).

Bahagian tepi hingga ke ekor belakang nampak sama macam Honda RS-X lama.

Suis hendal

Dengan menggunakan suis hendal terpisah, Honda RS-X Winner (2025) nampak lebih menarik dan sesuai dengan harganya. Reka bentuk lama mencantum suis hendal kiri dan kanan tertanam dalam panel plastik di bawah meter.

Suis hendal sebelah kiri Honda RS-X Winner (2025) nampak macam sama seperti skuter Honda ADV150 dengan hon di bahagian tengah, signal di bawah dan lampu tinggi/rendah di atas.

Rim baru

Honda RS-X Winner (2025) dipasang rim dengan corak lima bintang untuk menggantikan reka bentuk enam bintang rim Honda RS-X. Boon Siew Honda kata konsep rim ini macam CBR1000RR-R.

Motosikal Honda RS-X Winner ini didatangkan dengan waranti dua tahun atau 20,000 km, mana-mana yang tiba dulu.