VOGE FR150 Formica Rossa: Supermoped 150cc berprestasi tapi harga lebih mampu milik

Supermoped VOGE FR150 Formica Rossa yang hadir dengan tiga warna menarik adalah pilihan baru kepada mereka yang inginkan sebuah motosikal kategori 150cc dengan harga yang lebih mampu milik.

Model yang hadir dengan warna Bold Blue (biru), Heat Red (merah) dan Canary Yellow (kuning) ini dijual dengan harga asas jualan RM8,888 iaitu lebih murah berbanding Yamaha Y15ZR (RM8,998) dan Honda RS-X (RM9,798).

VOGE ialah jenama motosikal premium di bawah syarikat Loncin di China. Tahukah anda, FR150 Formica Rossa sebenarnya dibina mengikut piawaian ketat yang sama digunakan Loncin dalam akviti pembuatan motosikal BWM di China?

FR150 Formica Rossa juga sudah menjalani ujian kelasakan dan endurance di Malaysia semenjak akhir tahun lalu membabitkan perjalanan dari Utara negara hingga ke negeri paling selatan dengan jarak lebih 20,000km.

Supermoped itu dipasang enjin 4-strok satu silinder berkapasiti 149.6cc DOHC 4-injap dengan sistem penyejukan cecair untuk kawalan haba enjin dan bahan api disampaikan melalui sistem pancitan bahan api (FI).

Kuasa yang boleh diledakkan enjin itu ialah 15.4hp (11.5kw) @ 8,500rpm manakala tork maksimum adalah 13.5Nm @ 7,500rpm.

FR150 Formica Rossa dilengkapi sistem kotak gear 6-kelajuan klac manual dan motosikal itu dilengkapi teknologi klac slipper untuk memastikan penukaran gear jadi lancar dan lembut.

Sistem lampu FR150 Formica Rossa dibantu tiga projektor LED untuk lampu depan dengan dua projektor untuk lampu rendah dan satu untuk lampu tinggi.

Setanding produk Jepun, VOGE FR150 juga dilengkapi lampu DRL LED untuk menyerlahkan imej depan yang nampak lebih menarik dan lampu signal depan ditanam di tepi fairing depan.

Lampu signal belakang mengikut ketetapan standard atau piawaian antarabangsa iaitu perlu dipisahkan daripada lampu belakang. Ini sebabnya signal belok belakang jenis capang. Pancaran cahaya signal belakang jenis sequential macam kenderaan roda empat.

Semua maklumat semasa motosikal dihidupkan ditayang pada skrin digital LCD yang bersaiz besar. Di bawah skrin meter, ada satu soket port USB disediakan.

Motosikal ini menggunakan sistem keyless siap bersama butang untuk buka tempat duduk di sebelah kanan tombol rotari kunci. Tangki minyak bawah tempat duduk sebesar 5.8 liter.

Kestabilan menunggang dan menyerap hentakan digalas sistem fork teleskopik biasa yang membolehkan jarak travel 83mm dan motosikal ini menggunakan absober monoshock dengan travel 32mm di belakang.

Rim aloi sebesar 17 inci menggunakan saiz tayar depan 90/80 dan belakang 120/70.

Tempat duduknya setinggi 795mm dan FR150 Formica Rossa ini memiliki berat 123kg.

Ukuran FR150 Formica Rossa ialah panjang 1,958mm, selebar 679mm dengan ketinggian 1,116mm. Jarak antara bahagian bawah motosikal dengan tanah ialah 145mm dan jarak antara roda 1,290mm.

FR150 Formica Rossa ialah satu-satunya supermoped 150cc yang dipasang teknologi Sistem Brek ABS untuk roda depan dan roda belakang.

Sistem brek cakera tunggal depan adalah 244mm dan cakera tunggal belakang 203mm.