
Tahukah anda, Yamaha AEROX (atau NVX di Malaysia) ada didatangkan dalam versi elektrik di pasaran luar?
Model yang dijulang sebagai skuter sport elektrik itu dinamakan sebagai Yamaha AEROX E. Cerita awal tentang kedatangan model ini pernah dihebahkan Yamaha Motor Co. Ltd (Jepun) pada 12 November 2025.

AEROX E: Dari India untuk India?
Menariknya, skuter ini dikatakan produk pembangunan dalaman Yamaha (in-house) dan bukannya seperti skuter elektrik EC-06 yang dihasilkan menerusi kerjasama River Mobility.
AEROX E dihasilkan oleh India Yamaha Motor Pvt. Ltd. (Yamaha India). Dan negara itu juga adalah satu-satunya pasaran di dunia (setakat ini) yang menjual skuter elektrik AEROX E.
Mengapa India? Sebabnya, itu salah satunya negara yang mencatat pertumbuhan mendadak untuk segmen elektrik dua dan tiga roda di dunia sejak kebelakangan ini.
Statistik menunjukkan India merekodkan jualan 801,277 unit motosikal dan skuter elektrik sepanjang lima bulan pertama tahun 2026, atau naik 49 peratus berbanding tempoh sama (Jan-Mei) 2025.
Dan AEROX E diposisikan sebagai produk dalam segmen premium roda dua elektrik di India. Mungkin ini adalah langkah permulaan Yamaha di negara Asia sebelum melangkah lebih agresif ke rantau Asia.
Malaysia? Pernah sekali Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menerima beberapa unit skuter elektrik Yamaha E01 tetapi itu sekadar untuk tujuan ujian dan pengumpulan data dari Malaysia.
Ada Apa dengan AEROX E?
Walaupun saiz fizikalnya nampak sama seperti Yamaha AEROX versi petrol, skuter elektrik ini ada beberapa perbezaan selain unit trenkuasa (powertrain).
Cerita tentang bateri
Skuter ini didatangkan dengan dua pek bateri litium ion 1.5kWh jenis boleh tanggal. Ada dua cara cas iaitu melalui skuter atau menggunakan stesen dok pengecas.
Cara pertama, anda perlu sambungan kabel pengecas 650W dengan soket yang ada di bawah tempat sama seperti tempat isian semula petrol skuter AEROX biasa.
Cara kedua, tanggalkan bateri dan masukkan ke dalam dok pengecas. Ini memerlukan sedikit kesabaran untuk mereka yang duduk di kediaman bertingkat.
Berat satu pek bateri ialah sekitar 13 kilogram (jika 2 pek: 26kg). Setiap pek bateri ada skrin kecil menunjukkan peratusan bateri semasa di cas.
Masa mengecasnya agak lama iaitu 3 jam 10 minit untuk satu pek bateri dari 0 peratus hingga 100 peratus. Kalau dua pek bateri, masa mengecas ialah 6 jam 20 minit.
Memang boleh gunakan satu pek semasa menunggang tetapi prestasi dan jarak tunggangan akan terkesan.
Kedua-dua pek bateri ini diletakkan di bawah pelana dan bermaksud, ruang simpanan perlu dikorbankan untuk tujuan ini.
Kalau dibandingkan ruang simpanan bawah tempat duduk, AEROX versi petrol memiliki keluasan 24.5 liter. Disebabkan bateri, keluasan bawah pelana AEROX E berbaki 15 liter.
Jarak maksimum boleh ditunggang ialah 117km. Skuter elektrik AEROX E ini lebih sesuai untuk kegunaan dalam kawasan bandar atau jarak dekat.
Cerita tentang berat
Skuter elektrik lazimnya lebih berat berbanding versi petrol. Untuk AEROX E, skuter ini miliki berat 139kg iaitu lebih 13kg berbanding versi AEROX petrol.
Penambahan berat ini sebahagian besarnya disebabkan unit motor elektrik tunggal kekal jenis segerak, komponen elektrik berkaitan dan dua pek bateri.
Tidak lupa juga brek belakang kini jenis cakera (AEROX petrol guna brek drum belakang). Swingarm (lengan ayun) juga berbeza dan membuatkan jarak roda 10mm lebih panjang.
Yamaha AEROX E ini dikatakan ada peningkatan keselesaan berbanding varian petrol yang digambarkan sebagai skuter kompak kurang mesra penunggang berkaki panjang.
Laporan mendedahkan tempat duduk Yamaha AEROX E lebih tebal dan tinggi iaitu 812mm, kira-kira lebih 22mm berbanding skuter versi petrol.
Butang ‘Turbo’?
Motor elektrik ini menghasilkan kuasa 12.6hp dan tork 48Nm. Skuter ini ada tiga mode iaitu Economy, Standard dan Power.
Jika Yamaha NVX 155 SP Malaysia ada butang Y-Shift untuk ‘penurunan gear’ lain pula fungsi butang Power Boost untuk AEROX E. Bila ditekan, motor elektrik akan hasilkan daya pecutan lebih bertenaga untuk tempoh 10 saat.
Data kuasa dihasilkan motor elektrik ialah 9.4kW (12.6hp) dan tork setinggi 48Nm. Kelajuan maksimum dalam ujikaji makmal Yamaha ialah 95.5km/j.
Ciri lain Aerox E
- Brek cakera tunggal untuk roda depan dan belakang. Brek ABS untuk roda depan sahaja.
- Rim aloi 14 inci dengan tayar 110/80-14 (depan) dan 140/70-14 (belakang).
- Ada fungsi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS)
- Ada sambungan Y-Connect menggunakan Bluetooth.
- Ada fungsi mode undur.
- Butang kawalan kiri baharu.
- Meter TFT berwarna 5 inci














