
Cerita mengenai kedatangannya sudah bertiup semenjak tahun 2021 selepas tular dokumen pendaftaran tanda dagang YZF-R2 oleh Yamaha di beberapa negara.
Antaranya ialah India, Brazil, Mexico, Singapura, Indonesia, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat. Apa agaknya status R2 di Malaysia?

Yamaha YZF-R2 (2026)
Dan semalam, Yamaha Motor India melancarkan Yamaha YZF-R2 (2026) di India. Inilah pencabar baharu model popular KTM RC 200 dan Hero Karizma XMR di negara berkenaan.
Pelancaran Ini satu detik penting untuk Yamaha kerana YZF-R2 ialah sportbike pertama jenama Jepun itu dalam kategori 200cc.
3 varian Yamaha YZF-R2
Ada tiga varian Yamaha YZF-R2 (2026) akan berada di pasaran India bermula pertengahan September ini iaitu:
- Yamaha YZF-R2
- Yamaha YZF-R2 dengan Quick Shifter (QS)
- Yamaha YZF-R2M (ada Quick Shifter – QS)
5 warna Yamaha YZF-R2
- Yamaha YZF-R2 dikategorikan sebagai model paling standard dalam siri R2 dan hadir dengan dua warna iaitu Metallic Black dan Dark Bluish Gray.

- Yamaha YZF-R2 QS adalah varian pertengahan siri R2 dan juga ada dua warna pilihan iaitu Racing Blue dan Matte White Pearl.

- Yamaha YZF-R2M ialah model perdana atau versi paling tinggi dalam siri R2. Warna pilihan hanya terbatas kepada rona pilihan Metallic Gray.

Apa Beza 3 Varian Yamaha YZF-R2
Yamaha YZF-R2
Dilengkapi pendikit jenis ride-by-wire dengan tiga mode tunggangan, ada klac Assist & Slipper, fork terbalik (USD) 37mm, meter TFT 5 inci, teknologi Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) depan dan belakang.
Yamaha YZF-R2 QS
Warisi ciri sama dengan R2 standard tetapi diberikan tambahan Quick Shifter dwi-arah (atas bawah) dan warna rim aloi berbeza.
Yamaha YZF-R2M (ada Quick Shifter – QS)
Memiliki ciri sama seperti R2 QS dan ditambah fungsi boleh laras prabeban fork dan monoshock belakang, tuil klac dan brek boleh laras 5 tahap, balutan material suede sintetik untuk tempat duduk dan sistem kemasukan tanpa kunci (keyless).
Tambahan lain ialah lencana 3 dimensi dan swingarm berwarna perak.
Harga Yamaha YZF-R2
Berikut ialah harga badan yang diumumkan untuk siri sportbike Yamaha YZF-R2 di India:
- YZF-R2 Standard: 230,000 rupee (RM9,702)
- YZF-R2 dengan QS: 239,000 rupee (RM10,080)
- YZF-R2M: 253,000 rupee (RM10,670)
Enjin & Casis Yamaha YZF-R2 baharu
Yamaha YZF-R2 bukan model menggunakan enjin ditingkatkan kapasiti daripada model YZF-R15. Ini adalah model baharu berdasarkan penjelasan Ketua Projek Yamaha YZF-R2, Shinya Harato daripada Yamaha Motor Japan.
Harato berkata mereka membangunkan casis dan enjin baharu untuk projek tersebut dari kosong dengan konsep tumpuan tunggangan super sport dan konsep reka bentuk Zero Resistance.
Enjin R2 adalah serba baharu jenis satu silinder 204cc DOHC 4-injap dengan sistem injap finger rocker arm. R15 pula SOHC dengan teknologi VVA.
Output kuasa dikatakan 19.5kW pada 10,000rpm dan tork 19.1Nm pada 8,000rpm. Nisbah mampatan juga berbeza iaitu 11.5: 1.
Casis digunakan untuk R2 adalah rekaan baharu menggunakan tiub keluli rintangan tinggi dan swingarm pula diinspirasi daripada MotoGP. Casis baharu ini dikatakan lebih ringan 2.8kg berbanding casis R15.
Mode Tunggangan Yamaha YZF-R2
Sportbike ini hadir dengan tiga mode tunggangan utama iaitu Street, Sport dan Rain. Setiap satu untuk persekitaran dan keadaan jalan berbeza. Ada juga tambahan mode Custom.
- Street untuk pelbagai keadaan tunggangan dan sesuai di kawasan bandar atau tunggangan harian.
- Sport memberi respons karakter enjin lebih bertenaga dan ideal untuk tunggangan di jalan berselekoh.
- Rain menawarkan hantaran kuasa lancar, output kuasa lebih sesuai untuk permukaan jalan basah atau jalan rosak
- Custom membenarkan penunggang tetapkan tindak balas pendikit, TCS dan QSS
Spesifikasi Penuh Yamaha YZF-R2
- Enjin silinder tunggal 204cc DOHC 4-injap dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.
- Gerek x lejang: 66 x 59.6mm
- Nisbah mampatan: 11.5:1
- Kuasa maksimum: 26.5PS (19.5kW) @ 10,000rpm
- Tork maksimum: 19.1Nm @ 8,000rpm
- Kotak gear: Manual 6-kelajuan dengan klac Assist & Slipper
- Frem: Backbone (Steel Tube Diamond Frame)
- Fork depan terbalik (USD) 37mm
- Suspensi belakang monoshock
- Brek cakera depan 282mm, ABS
- Brek cakera belakang 220mm, ABS
- Tayar depan 100/80-17
- Tayar belakang 140/70 -17
- Panjang 1,980mm
- Lebar 700mm
- Tinggi 1,140mm
- Jarak roda 1,340mm
- Tinggi pelana: 810mm
- Jarak bumi 170mm
- Berat 149kg (R2 QS & R2M: 150kg)
- Tangki minyak 12 liter
















