Skuter adventure Zontes 368G lancar di Malaysia, harga RM28,800

Skuter adventure Zontes 368G telah dilancarkan di Glamz at Genting (Genting Sempah) petang Khamis lalu dengan harga RM28,800 tak masuk kos pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Zontes 368G menjadi topik popular sebabnya skuter itu dianggap sebagai pilihan alternatif kepada Honda ADV350 dengan kelebihan harga dan lebih banyak ciri menarik.

Zontes ialah jenama roda dua dari China tapi skuter yang akan dijual di kedai pengedar seluruh Malaysia adalah model keluaran kilang di Kedah.

Maksudnya, Zontes 368G adalah model CKD dan bukan diimport dari China. Tempahan untuk Zontes 368G sudah melebihi 1,000 unit menerusi 15 pengedar sah di seluruh Malaysia.

Masa menunggu (senarai menunggu) untuk mendapatkan skuter itu dikatakan antara dua hingga tiga bulan. Stok akan diedarkan ke kedai-kedai bermula Mac 2024.

Siapa sangka, satu jenama yang kurang dikenali tiba-tiba menjadi antara produk popular dalam masa yang agak singkat.

Zontes 368G didatangkan dengan tiga pilihan warna – Iron Grey Blue (biru kelabu), White Gold (putih emas) dan Golden Stone Green (hijau).

Zontes Malaysia dalam pembentangan mereka menyatakan ada dua versi Zontes 368G iaitu Standard Seat dan High Seat.

Varian High Seat dijual dengan warna badan biru kelabu. Untuk Standard Seat, varian itu ada tiga pilihan warna seperti di atas.

Zontes Malaysia cakap beza dua varian Zontes 368G bukan kerana tebal atau nipis tempat duduk tetapi disebabkan sistem suspensi (jarak travel).

Ketinggian tempat duduk Zontes 368G High Seat ialah 795mm dan Low Seat pula sebanyak 770mm. Jarak dari tanah untuk High Seat ialah 180mm dan 155mm untuk Standard Seat.

Mengapa Zontes 368G guna tali sawat dan bukan rantai macam motosikal? Zontes Malaysia kata sebab nak pastikan 368G memberikan pengalaman tunggangan macam skuter sebenar.

Kalau tengok pada transmisi CVT Zontes 368G, komponen itu juga menjadi sebahagian daripada swingarm (lengan ayun) dan memang ciri sebenar sebuah skuter sejati.

Ada sedikit perbezaan bateri untuk model Zontes 368G di China dan Zontes 368G yang dipasang Zontes Malaysia. Bateri untuk 368G di Malaysia jenis gel keluaran Zontes tapi di China, skuter itu guna bateri litium ion.

Zontes Malaysia pilih bateri gel disebabkan kos dan faktor harga. Bateri litium ion adalah dua kali ganda lebih mahal dari bateri gel. Bateri gel yang diguna untuk Zontes 368G ialah YTX12 (harga dalam RM300).

Enjin digunakan adalah produk 100 peratus dari kilang Zontes China. Skuter ini bergerak dengan kuasa daripada enjin 4 strok satu silinder 368cc SOHC memberi kuasa 38.hp @ 7,500rpm dan tork 40Nm @ 6,000rpm.

Haba panas enjin dikawal dengan sistem penyejukan cecair dan petrol dari tangki 17.5 liter dipacit masuk ke kebuk pembakaran (fuel injection). Satu tangki petrol boleh cecah jarak sekitar 500 kilometer.

Macam dikatakan tadi, roda belakang digerak menggunakan tali sawat (belting) dan Zontes 368G ada dua mode iaitu ECO dan Sport. Mod boleh ditukar dengan tekan butang di sebelah kanan bar hendal.

Tapi kalau REV enjin sudah capai 7,000rpm dalam mode ECO, sistem skuter akan ubah jadi mode Sport secara automatik.

Skrin meter Zontes 368G bersaiz 8 inci TFT berwarna dan boleh disambung dengan telefon anda menerusi Bluetooth.

Penghadang angin boleh ditinggi atau rendahkan secara manual dengan lima peringkat ketinggian.

Skuter ini ada lampu kabus, bar penghadang rempuh depan dan dashcam depan-belakang. Kapasiti simpanan rakaman sebesar 128GB.

Fork depan jenis upside-down (USD) diameter 41mm dan di belakang, ada sepasang absober boleh laras.

Skuter ini menggunakan sistem tanpa anak kunci (keyless). Butang disediakan untuk buka penutup tangki minyak dan tempat duduk (tidak menggunakan anak kunci).

Rim spokes depan 17 inci (tayar 110/70) dan rim belakang 14 inci (tayar 150/70).

Skuter ini guna brek cakera di depan dan belakang, disatukan dengan Sistem Brek ABS dan Traction Control.

Zontes 368G ada sediakan tiga set soket USB (setiap satu ada Type A dan Type C) di bawah meter, kotak tepi simpan barang dan bawah tempat duduk.

Kalau cuaca sejuk atau hujan, grip bar hendal ada ciri pemanas dan boleh diaktifkan menggunakan butang sebelah kanan bar hendal.

Jaminan untuk skuter Zontes 368G adalah 1,2 dan 3 tahun seperti ini:

  • Jaminan 1 tahun @ 6,000km: bateri, soket USB dan komponen kecil.
  • Jaminan 2 tahun @ 20,000km: sistem pendawaian termasuk meter
  • Jaminan 3 tahun @ 30,000km: Enjin