Perang Supermoped 150cc Bermula Tahun 2025?

Motosikal moped 150cc ialah kategori roda dua yang semakin popular di Malaysia dan ada dua jenama yang bersaing secara sengit sejak sekian lama iaitu Yamaha dan Honda. Suzuki dan Kawasaki belum ada model untuk segmen ini.

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mendahului kelas 150cc di Malaysia dengan adanya model Yamaha Y15ZR dan Y16ZR dan pencabarnya, Boon Siew Honda pula mempertandingkan model Honda RS-X dan RS150R.

Ada syarikat lain macam MForce Bike Holdings (MForce) turut serta dalam segmen moped 150cc menggunakan motosikal WMOTO F-15 sejak tahun 2021. Pada Mei 2024, MForce melancarkan model jenama premium Voge FR150 Formica Rossa dalam segmen 150cc.

Modenas sudah berulang kali berkata mereka juga akan sertai segmen supermoped bermula tahun 2025. Itu pun selepas bertahun-tahun tahun membuat hebahan, merancang dan terus merancang untuk memperkenalkan motosikal yang ditunggu peminat mereka.

Projek supermoped Modenas dikatakan ada penglibatan pihak Kawasaki dan beberapa kali media laporkan motosikal itu sudah siap dan sedang diuji.

Ada satu lagi syarikat, AFY Mobility industries (AMI) pernah menyatakan hasrat untuk teroka segmen supermoped dengan jenama baru dipanggil AFAZ termasuk model berkapasiti 150cc menerusi bantuan Suzuki. Mungkin tak lama lagi akan kita saksikan kemunculan produk jenama nasional AFAZ.

Kalau Modenas dan AMI dapat melancarkan motosikal supermoped mereka pada tahun depan, ini sudah tentunya menarik kerana kita boleh saksikan satu persaingan yang lebih menarik untuk moped 150cc. Adakah perang supermoped akan meletus tahun depan dengan ketibaan supermoped Modenas?