Akid sertai VOGE AS25 Racing Team, dapat pakej terbaik buru kedudukan podium?

VOGE AS25 Racing Team memperkukuhkan barisan pelumbanya dengan mengumumkan Muhammad Akid Aziz akan bersama pasukan mereka dan mengharungi baki saingan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix Championship 2026 dalam kategori CP150.

Akid bukanlah nama asing dalam Malaysian Cub Prix. Pengalaman serta pencapaiannya sebagai bekas juara menjadi antara faktor utama VOGE AS25 Racing Team mendapatkan khidmatnya.

Pemilik VOGE AS25 Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman menyatakan jentera VOGE FR150 sudah menunjukkan kemampuan untuk memberi saingan kepada pengeluar lain dan pasukan mahu ambil langkah seterusnya untuk memburu keputusan yang lebih baik.

Beliau berkata:

“Jentera VOGE FR150 kini sudah mampu memberi saingan kepada jenama lain, tetapi kami dahagakan kemenangan. Kami mahu berada di podium dan untuk itu, kami perlu membuat keputusan yang berani.

“Saya yakin pemilihan Akid adalah langkah yang paling tepat pada ketika ini.”

Azlan berkata pengalaman serta rekod Akid dalam saingan Cub Prix menjadi antara aset penting yang diharapkan mampu memperkuatkan cabaran pasukan dalam baki musim 2026 dan seterusnya menuju musim 2027.

“Kami tahu kemampuan dan pengalaman yang Akid miliki. Kehadirannya memberikan kami satu lagi pilihan yang kuat dalam barisan pelumba.

“Sasaran kami jelas. Kami mahu mencabar kedudukan podium dan kemenangan, dan kami akan berusaha memberikan pakej terbaik kepada Akid untuk membolehkannya memberi prestasi terbaik bersama pasukan.”

Mengulas mengenai tim baharunya, Akid Aziz berkata, peluang menyertai VOGE Racing Team adalah satu cabaran baharu dalam karier perlumbaannya.

Akid menambah:

“Saya berterima kasih kepada VOGE Racing Team dan pihak pengurusan kerana memberikan kepercayaan kepada saya.

“Ini merupakan satu cabaran dan permulaan baharu buat saya. Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya dan cuba memberikan yang terbaik untuk pasukan.

“Sasaran sudah tentu untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam baki tiga pusingan musim
ini. Saya berharap dapat memberikan sumbangan yang positif kepada pasukan dan meneruskan momentum itu untuk musim 2027.”

VOGE Racing Team dan AS 25 Motorsport Sdn. Bhd. menyatakan kerjasama sehingga penghujung 2027 itu mencerminkan komitmen mereka untuk terus memperkukuhkan program perlumbaan VOGE di Malaysia serta meningkatkan daya saing pasukan dalam Malaysian Cub Prix.