SYM VFE185i bakal gantikan SYM VF3 185 dengan harga badan bawah RM10,000?

SYM VFE 185i (2025)

Kru kami pada bulan Disember 2023 pernah melaporkan kewujudan SYM VF3 185 FI versi naik taraf di Malaysia.

Pada masa itu, supermoped ini dikesan sedang menjalani ujian endurance untuk melihat ketahanan cover set. Sebabnya, model baru itu ditukar keseluruhan set panel badan termasuk lampu depan.

Tapi mengapa tak lancar pada tahun 2024? Berdasarkan informasi kru kami, MForce tidak setuju dengan beberapa aspek motosikal ini. Antaranya, meter masih menggunakan reka bentuk dan teknologi lama.

Hasil daripada maklum balas dan nasihat pihak MForce, pihak SYM akhirnya bersetuju dan mengubah beberapa aspek motosikal mengikut cadangan yang dikemukan MForce.

Dan ramai menjangkakan model ini akan dilancarkan sebagai pengganti model generasi kedua SYM VF3 185. Kali terakhir VF3 diluncurkan di Malaysia ialah tahun 2022 dengan varian LE.

Informasi yang kru kami terima ialah Malaysia akan dapat model pengganti SYM VF3 185 FI. Cumanya, nama moodel motosikal ini akan ditukar kepada SYM VFE185i (2025).

Malaysia tidak ikut nama global model ini iaitu SYM VF 185 yang pernah muncul di Vietnam Motor Show baru-baru ini.

Informasi diterima mengatakan SYM VFE185i (2025) akan lancar di Malaysia pada bulan September ini dengan 3 warna pilihan. Harga badan bawah RM10,000.

Satu perkara menarik yang kami lihat ialah model ini akan jadi supermoped kedua di bawah pihak MForce Bike Holdings (MForce) yang menggunakan sistem brek ABS depan-belakang.

Model supermoped pertama dengan ABS dua saluran di Malaysia sudah tentunya VOGE FR150 Formica Rossa.

Selain perubahan nama, motosikal VFE185i ini juga menerima perubahan instrumen meter hasil daripada pendirian dan maklum balas dari pihak MForce.

SYM VFE185i akan mendapat meter panel digital sepenuhnya, kalau tak silap sekeping skrin petak. Bagus jika ini dibuat kerana meter global itu memang tak cantik.

Secara asasnya, perubahan pada SYM VFE185i (atau nama global SYM VF 185) ini membabitkan keseluruhan set panel badan dan lampu depan-belakang. Aspek enjin tidak diusik.

Berikut ialah data teknikal (spesifikasi) supermoped ini di pasaran global:

  • Enjin 4 strok silinder tunggal 183cc SOHC dengan suntikan bahan api dan sejukan cecair
  • Kuasa maksimum: 14.7 Kw @ 9000rpm
  • Tork maksimum:  17.4 Nm @ 7500rpm
  • Kotak gear 6 kelajuan klac manual
  • Sistem lampu depan, signal, belakang semua LED
  • Sistem kunci pintar
  • Panjang: 2,000mm
  • Lebar: 740mm
  • Tinggi: 1,150mm
  • Jarak roda: 1,305 mm
  • Berat kasar: 135kg
  • Fork depan teleskopik
  • Absober belakang monoshock
  • Saiz tayar depan: 90 / 80- 17
  • Saiz tayar belakang: 120 / 70- 17
  • Brek cakera depan 250mm dengan brek ABS
  • Brek cakera belakang 200mm dengan brek ABS
  • Tangki minyak 7 liter