Modenas memaparkan kapcai terbaru – Modenas Kriss 125 Fi (2025) di laman web dan media sosial mereka malam tadi dan dijual pada harga permulaan RM5,620 belum dikira insurans dan cukai jalan.
Modenas Kriss 125 Fi (2025) didatangkan dengan dua warna menarik iaitu Glacier Emerald Green (hijau kelabu) dan Graphite Grey (kelabu).
Poster model terbaru itu tertera tagline Ikon Rakyat semakin garang! Kalau melihat komen-komen di Facebook Modenas, ramai yang memuji kemajuan Modenas dengan penampilan Modenas Kriss 125 Fi (2025).
Tanpa membuang masa, mari kita tengok apa spesifikasi kapcai terbaru Kriss 125Fi tahun 2025.
Lampu depan LED dan sudah ada lampu daytime running lights (DRL). Lampu LED ini dikatakan memberi pancaran pencahayaan lebih baik, tahan lebih lama berbanding mentol halogen dan menjimatkan penggunaan elektrik 75 peratus.
Lampu belakang macam guna mentol halogen tapi lampu signal sudah beralih kepada LED. Bentuk signal nampak macam Honda. Kriss 125 Fi sudah ada lampu kecemasan (Hazard Lights).
Meter Modenas Kriss 125 Fi kekal dengan jarum analog untuk speedometer (meter laju) dan odometer (meter jarak perjalanan). Petunjuk gear dan meter minyak pula guna lampu LED. Memang klasik kacuk moden kapcai Modenas ini.
Ada dua port USB disediakan untuk penunggang cas telefon. Kemajuan yang ramai tunggu kerana memang membawa manfaat.
Bawah tempat duduk sudah ada tempat simpan barang yang nampak besar – 6.6 liter.
DATA TEKNIKAL (SPESIFIKASI) MODENAS KRISS 125 FI (2025)
- Enjin 4 strok satu silinder SOHD guna penyejukan udara, pencucuhan ECU dan pancitan petrol (Fi).
- Kapasiti 124cc
- Nisbah mampatan 9.3: 1
- Saiz gerek x lejang 54mm x 54mm
- Sistem pemula guna butang elektrik dan ada primary kick start
- Kotak gear 4 kelajuan rotari dan klac basah multiple disc
- Pacuan rantai macam kapcai biasa
- Kerangka (frame) paip keluli backbone
- Fork biasa dan belakang disokong absober berkembar
- Brek depan jenis cakera dan brek belakang mengekalkan jenis drum
- Rim sukan 17 inci depan dan belakang
- Tayar depan saiz 70/90 -17M/C 38P (Tubeless)
- Tayar belakang saiz 80/90 -17M/C 50P (Tubeless)
- Panjang 1,880mm
- Lebar 690mm
- Tinggi 1,075mm
- Jarak dari bumi 145mm
- Jarak antara roda 1,230mm
- Berat secara kasar 98kg
- Bateri 12V 5ah
Kriss 125 Fi ini memang satu kejutan dan adakah tahun ini kita akan lihat Modenas bangkit semula? Mungkin ya tapi sudah pasti kalau supermoped yang dijanjikan itu cepat-cepat dilancarkan – bulan Februari ke.