Apa nasib masa depan motosikal & skuter elektrik di Malaysia tanpa MARiiCas?

mariicas 2026 baru

Sebulan lalu, MARiiCas berkongsi satu memo menerusi laman web mereka yang memberi petanda awal status program itu. Ini jelas dalam perenggan keempat memo itu yang mengatakan:

“…permohonan baharu bagi MARiiCas DITUTUP bagi memberi ruang kepada pemprosesan permohonan sedia ada…”

MARiiCas atau maksudnya Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik diperkenalkan pada hujung Disember 2023 sebagai satu kaedah (insentif) menggalakan orang awam beralih kepada mobiliti elektrik dua roda.

Insentif ini pada awal untuk model skuter dan motosikal elektrik yang diimport (CBU) serta model pemasangan tempatan (CKD) dan diteruskan setahun kemudian untuk model CKD.

Memo MARiiCas secara jelas menunjukkan pencapaian program ini dengan menggariskan fakta dalam perenggan ketiga seperti berikut:

  • Pertumbuhan memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 10 kali ganda berbanding tahun 2023.
  • Jumlah syarikat pengeluar motosikal elektrik CKD meningkat kepada 9 syarikat pada 2025.
  • Pertambahan model motosikal dan skuter elektrik dari 11 model pada 2024 kepada 28 model pada separuh tahun pertama 2025 (Januari hingga Jun).
  • Memberi peluang dan melibatkan lebih kurang 6,000 jumlah pekerja.

PROGRAM MARICAS BANYAK MANFAAT

Semasa memo MARiiCas dikeluarkan, ramai beranggapan penutupan dibuat bersifat sementara kerana mahu menyelesaikan kerja-kerja pemprosesan permohonan.

Ramai juga masih menganggap program ini tidak dihentikan dan masih berharap program insentif ini disambung kerana memo ada mengatakan:

Sebarang pemakluman mengenai pembaharuan atau insentif baharu berkaitan kenderaan elektrik (EV) akan diumumkan secara rasmi dari semasa ke semasa.

Mari kita bercakap jujur tanpa berselindung…. insentif rebat sebanyak RM2,400 ini memang banyak manfaatnya:

  • Dari membantu mempercepatkan usaha membantu pengguna memiliki skuter atau motosikal elektrik.
  • Membantu pengurangan emisi karbon dan penggunaan bahan api fosil (petrol) dan menambah baik kebersihan udara.
  • Membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan memudahkan peluasan keperluan, bisnes dan peluang kerjaya dalam sektor mobiliti EV.

Secara jujur, insentif sebanyak RM2,400 ini memang amat besar sumbangannya kepada pengguna dan juga membantu syarikat pengeluar kenderaan elektrik.

PENDAFTARAN MOTOSIKAL EV NAIK SEBAB MARIICAS

mariicas 2025

Tahukah anda, jumlah pendaftaran motosikal dan skuter elektrik sudah melepasi paras 6,000 untuk lapan bulan pertama tahun ini? Semua ini sudah tentu disebabkan adanya program MARiiCas. Ini adalah pecahan statistik pendaftaran mengikut bulan:

  • Januari: 937 unit
  • Februari: 471 unit
  • Mac: 707 unit
  • April: 654 unit
  • Mei: 717 unit
  • Jun: 586 unit
  • Julai: 1,048
  • Ogos: 1,046

Jumlah: 6,466 untuk dari Januari hingga Ogos 2025.

RAYUAN PROGRAM MARIICAS…

Persoalan sekarang ialah apa status MARiiCas? Adakah akan disambung kembali atau…. Susulan Pembentangan Belanjawan 2026, tiada pengumuman dibuat mengenai insentif MARiiCas…

Menyedari perkembangan terkini tentang keadaan ini, Persatuan Penjual Motosikal Elektrik Malaysia (PPMEM) membuat permohonan rayuan agar program rebat itu disambung tahun ini.

PPMEM dalam surat rayuan menyatakan:

“…Sejak pelaksanaan program ini, pasaran motosikal elektrik telah berkembang pesat. Program MARiiCAS bukan sahaja meningkatkan kesedaran dan minat pengguna terhadap kenderaan elektrik, tetapi turut membantu mencapai matlamat kerajaan dalam mengurangkan pelepasan karbon serta memperkukuh ekosistem industri automotif nasional.

“Walau bagaimanapun, kami dimaklumkan bahawa program MARiiCAS bagi tahun 2025 akan berakhir tidak lama lagi, dan tiada pengumuman rasmi mengenai penyambungan bagi tahun 2026.

“Situasi ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengedar dan pengilang tempatan kerana ia memberi kesan langsung kepada perancangan jualan, pelaburan, dan peluang pekerjaan dalam industri motosikal elektrik…..”

PPMEM dalam surat sama menyatakan sebab munasabah mereka dalam mengemukakan rayuan supaya Program MARiiCas disambung iaitu…

“…Sehubungan itu, PPMEM dengan penuh rendah diri merayu kepada YB Menteri Kewangan agar mempertimbangkan perkara-perkara berikut:

(a) Menyambung dan menambah peruntukan bagi pelaksanaan Program Rebat MARiiCAS Tahun 2026;

(b) Memperluaskan kelayakan rebat kepada lebih banyak model motosikal elektrik tempatan dan import; serta

(c) Menambah baik mekanisme tuntutan agar lebih mudah dan cepat kepada pengguna dan pengedar.

APA KATA PEMAIN INDUSTRI MOTOSIKAL?

Kru kami berhubung dengan Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings (MForce), Asri Ahmad untuk mendapatkan pandangan beliau tentang status mengenai Program MARiiCas.

Ini kerana MForce menguasai lebih 84 peratus dalam pegangan pasaran motosikal dan skuter elektrik di Malaysia bagi tahun 2024 hingga 2025.

Antara jenama motosikal dan skuter elektrik diuruskan MForce ialah YADEA, ZEEHO dan QJMOTOR dengan keseluruhan model ialah tujuh.

Asri memberitahu MForce sudah ada perancangan untuk membuka rangkaian premis MForce EV Gallery yang difokuskan kepada tawaran motosikal dan skuter elektrik di seluruh negara.

Bukan itu sahaja, MForce juga sudah membuat pelaburan sejumlah wang untuk mendirikan barisan pengeluaran baru untuk pengeluaran skuter dan motosikal EV.

Asri berpendapat jika insentif MARiiCas tidak disambung, aktiviti memajukan dan peralihan kepada mobiliti elektrik mesra alam akan jadi ‘lebih perlahan’ tanpa bantuan Kerajaan dan Kementerian.

Umum diketahui, EV masih muda di Malaysia dan memerlukan sokongan dari Kerajaan untuk memulakan peralihan dan stabil sebelum menjadi satu bidang yang boleh menarik pelaburan masuk serta mewujudkan lebih banyak peluang kerja baharu.

ARTIKEL BERKAITAN EV