Skuter elektrik YADEA E8S Pro 2023 dilancarkan – RM 5,999.00

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. baru-baru ini rasmi melancarkan model skuter terbaharu YADEA E8S Pro 2023 untuk pasaran Malaysia. Harga jualan asasnya ditawarkan sebanyak RM 5,999.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan. YADEA E8S Pro hadir dengan teknologi TTFAR yang menawarkan penggunaan tenaga yang lebih efisien. Ianya juga dilengkapi pek bateri Graphene 72 volt dan 38Ah, dan digerakkan motor elektrik 2000W yang menjana tork 140Nm.

Sistem pacuannya menggunakan tali sawat yang menghantar kuasa ke bahagian roda belakang. YADEA E8S Pro mempunyai dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport, yang menjadikannya ideal sebagai mod pengangkutan dalam bandar dengan jarak yang tidak terlalu jauh. Antara spesifikasi lain seperti sistem lampu LED, panel meter digital, brek cakera depan dan belakang, ruang storan 32 liter, dan tinggi pelana 740 mm. Skim warnanya ialah Space Gray, Matte Sea Blue dan Black.