ZEEHO AE8 S+ sudah dilancarkan pada sempena majlis pembukaan cawangan pertama CFMOTO dan ZEEHO di bandar Johor Bahru, Johor pada Sabtu lalu (28 Disember 2024).
Harganya RM18,888 itu tidak termasuk insurans, upah pendaftaran dan nombor plet. Ada dua warna disediakan untuk pilihan – Eclipse Silver dan Starship Silver.
Skuter elektrik premium itu adalah model kedua di bawah jenama ZEEHO untuk pengguna Malaysia. Pada September 2024, CFMOTO sudah melancarkan model ZEEHO AE4 (model basic) di Semenyih, Selangor.
Walaupun dilancarkan oleh pihak CFMOTO Malaysia, skuter itu kekal dengan penggunaan lencana ZEEHO (bukannya CFMOTO) kerana ia adalah sub jenama yang berdiri sendiri.
Secara ringkas, CFMOTO adalah untuk motosikal berasaskan petrol manakala fokus ZEEHO adalah untuk produk mobiliti berasaskan kuasa elektrik.
Semasa pelancaran AE8 S+, CFMOTO Malaysia ada membawa satu lagi model skuter elektrik untuk tontonan pengunjung iaitu AE6+ dengan mesej ‘coming soon’.
Ini sudah tentu satu petanda skuter elektrik ZEEHO akan diluaskan dengan pelancaran varian pertengahan iaitu AE6+ yang mengisi lompong antara skuter basic AE4 dan premium AE8 S+.
Semua skuter elektrik ZEEHO dipasang di Malaysia atau model CKD (Completely Knocked Down) dan bukannya diimport seunit-seunit dari China. Bagus juga cara macam ini, ada peluang kerja untuk orang Malaysia.