
Tahun 2025 ini… boleh dianggap sebagai tahun skuter. Sebabnya, hampir setiap bulan ada sahaja skuter dilancarkan ke pasaran Malaysia.
Dan hari ini, satu lagi jenama memilih untuk menyertai perang skuter Malaysia iaitu VOGE SR3 (2025). Model ini dilancarkan bersama skuter WMOTO Nexy+ 180 (2025) dan cruiser WMOTO Bobbie 450S.
SKUTER ‘AYAM’?
Kedatangan model skuter dari VOGE ini sememangnya sesuatu perkembangan yang dinanti-nantikan kerana ia agak menarik. Sebabnya, pembuat asal skuter jenama VOGE iaitu Loncin bukan berstatus ‘pengeluar motor atau skuter ayam’.
Loncin menghasilkan skuter BMW C400 X dan C400 GT di kilang mereka di China. Bukan hasil satu atau dua komponen tetapi keseluruhan skuter itu untuk pihak BMW Motorrad Jerman mengikut amalan kualiti ketat dan piawaian BMW.
Malah, ada sudut pameran enjin dan skuter BMW di dalam kilang Loncin di Chongqing, China. Ini gambar yang kru kami rakam sendiri semasa melawat kilang Loncin di sana.
Ini pula barisan enjin yang dihasilkan pihak Loncin untuk BMW Motorrad
Tinggalkan bab Loncin dan BMW. Kita fokus kembali cerita VOGE SR3 (2025). Model ini ialah skuter pertama dalam rangkaian produk VOGE di Malaysia selepas model supermoped FR150 Formica Rossa, cruiser CU525 dan adventure touring DS900X.
TARIKAN BARU SEGMEN 250CC?
VOGE SR3 (2025) pernah dikesan di Terengganu bersama abangnya VOGE SR4Max yang akan masuk pasaran Malaysia suatu hari nanti.
Di pasaran luar, model ini ada nama lain iaitu VOGE SR250 GT dan SR3 GT. Di Malaysia, nama rasminya ialah VOGE SR3 dan model ini dipasang pihak MForce Bike Holdings di Pulau Pinang.
Secara asasnya, SR3 akan memasuki liga skuter agak sengit iaitu kelas 250cc yang semakin dibanjiri dengan pelbagai model dan jenama – terutamanya dari negara sendiri (China).
Semua tahu, segmen skuter 250cc ini ada pencabar sedia ada iaitu jenama dari Jepun dan juga Taiwan. Cakap berlapik… sebenarnya perubahan trend dan jenama sedang berlaku dalam kategori skuter.
APA MENARIK TENTANG VOGE SR3?

Pertama ialah harga badannya iaitu RM15,888 tak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.
Harga yang diumumkan ini adalah antara terbaik dan lebih rendah untuk skuter suku liter berbanding sebahagian besar model dalam kelasnya – sama ada dari China mahupun negara lain.

SR3 ialah produk pertama VOGE di Malaysia yang dilengkapi kamera perakam (dashcam) resolusi 1080p. Kamera ada di bahagian depan sahaja.
Grip hendal ada fungsi pemanas dengan tiga tahap pilihan (konsol kanan). Mungkin ini skuter 250cc pertama di Malaysia dengan fungsi pemanas?
Ada ciri Sistem Kawalan Cengkaman (Traction Control) yang boleh dipadamkan menggunakan butang di konsol kiri.

Ruang simpanan bawah pelana yang agak besar. Tiada masalah menyimpan topi keledar open-face, baju hujan serta barang peribadi lain.
Dua kotak simpan barang (front storage) magnetik. Memang tahap kualitinya lebih tinggi berbanding kebanyakan skuter lain. Ada soket pengecas USB Type-A.
Brek tangan dengan fungsi brek parkir untuk memastikan skuter dapat diletakkan statik dan mengurangkan risiko gelongsor-tumbang.

Tempat letak kaki untuk pembonceng memang terbaik dan cukup lebar demi keselesaan dan membantu kestabilan imbangan badan semasa duduk atas pelana.
Penghadang angin boleh laras dua tahap secara manual. Walaupun manual, ia mudah ditarik atau tolak dengan sebelah tangan.
Instrumen meter jenis TFT dan paparan berwarna. Tidak dinafikan, kualiti paparannya cantik dab mudah dibaca.
CIRI & SPESIFIKASI LAIN
- Ada tiga warna pilihan iaitu perak, putih dan hitam.
- Enjin silinder tunggal 244.3cc SOHC (bukan DOHC) 4-injap dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.
- Nisbah mampatan 11.5:1
- Kuasa maksimum 26hp (19.4kW) @ 8,250rpm
- Tork maksimum 23Nm @ 6,500rpm
- Sistem transmisi automatik CVT
- Panjang 2,100mm
- Lebar 795mm
- Tinggi 1,392mm
- Jarak roda 1,525mm
- Jarak bumi 140mm
- Tinggi tempat duduk 780mm
- Berat bersih 156kg
- Tayar depan 120/70-14
- Tayar belakang 140/60-13
- Brek cakera depan 260mm
- Belakang cakera belakang 240mm
- Ada sistem brek ABS dan Kawalan Cengkaman (TCS – Traction Control)
- Tangki minyak 14 liter
- Fork teleskopik biasa, set absober berkembar di belakang
- Ada sambungan Bluetooth
ARTIKEL BERKAITAN
- Kedai motor juga rancak ambil tempahan awal VOGE SR3 GT (2025), harga bawah RM19,000?
- VOGE SR3 pernah muncul di Malaysia, adakah skuter 250cc ini akan dilancarkan tahun ini?
- Euro Griffin 180i, QJMOTOR AX200S, NEXY+ 180i, Cyclone RT3E, VOGE SR250GT, VOGE SR4Max hadiri Scooterian Mega Gathering 3.0 (SMG)
- 4 model motosikal VOGE baharu akan diperkenalkan dari tahun 2025


































