
Rapido Malaysia hari ini memperkenalkan tiga komponen aftermarket baharu untuk pasaran tempatan sempena satu majlis eksklusif pertama bersama media dan pelumba Moto3 iaitu Cormac Buchanan dan Ruche Moodley.
Tiga produk berprestasi versi dipertingkat itu adalah untuk kegunaan jalan raya dan perlumbaan. Ini produk yang diperkenalkan hari ini:
Rapido 628 CNC Rim Tetuang (Casting Rim)

- Produk dibangunkan untuk kegunaan skuter Yamaha NVX V3 dan boleh dipasang secara terus (plug-and-play) tanpa sebarang kerja-kerja modifikasi semasa pemasangan.
- Dicipta menggunakan teknologi tuangan CNC yang menawarkan ketahanan, tindak balas dan kestabilan tunggangan skuter yang lebih baik.
Rapido x CKJ Racing Ultra-Light Racing Pulley Pin

- Dihasilkan bersama tuner profesional, CKJ Racing.
- Pin pulley ultra ringan ini mengurangkan jisim putaran untuk meningkatkan respons pendikit dan pecutan. Sesuai untuk penunggang yang mahukan prestasi CVT lebih tajam.
Rapido x CKJ Racing Front Fork Spring

- Naik taraf sistem suspensi depan dengan kawalan lantunan semula (rebound) lebih baik dan kestabilan semasa mengambil selekoh secara agresif.
- Dihasilkan berasaskan maklum balas perlumbaan untuk keyakinan tunggangan maksimum.
KISAH DISEBALIK PRODUK BAHARU RAPIDO
Semua produk ini adalah hasil pencapaian penting untuk kegunaan jenama motosikal berprestasi tinggi tempatan.
Malah ini adalah hasil yang dikecapi Rapido dengan melangkah ke pentas dunia melalui kerjasama bersama pasukan BOE Motorsports dalam Kejuaraan Dunia Moto3 2025.
Barisan produk ini mencerminkan misi Rapido untuk membawa inovasi kejuruteraan dan menawarkan teknologi perlumbaan litar kepada pengguna di jalan raya biasa.
SIAPA RAPIDO MALAYSIA
Rapıdo adalah jenama yang dimiliki syarikat Kee Kee Motor Sdn. Bhd. (KKM) dan mereka sudah memiliki pengalaman lebih 38 tahun pengalaman dalam industri motosikal.
Mula ditubuhkan pada tahun 1985 sebagai bengkel kecil, KKM kini sudah berkembang menjadi antara pengeluar dan pengeksport aksesori motosikal terbesar di Malaysia.
SENARAI PENCAPAIAN RAPIDO
- Jenama pertama menghasilkan perehat kaki tunggal plug-and-play untuk motosikal kegunaan jalan raya
- Satu-satunya jenama pasaran aftermarket untuk rim tetuang CNC untuk model SYM Husky 150
- Jenama dengan rangkaian rim CNC tetuang skuter paling luas
- Peneraju dalam memperkenalkan rak belakang boleh laras di Malaysia
- Reka bentuk produk sering dijadikan rujukan oleh jenama serantau
- Salah satu daripada dua jenama rim asing yang menerima pensijilan SNI (Indonesia)
- Terbabit dalam Kejuaraan Asia Road Racing Championship (ARRC) bersama pasukan BMW, Honda, Yamaha dan Voge
- Rakan teknikal kepada semua pasukan Kejuaraan Cub Prix Malaysia
- Memiliki edaran global di Indonesia, Vietnam, Filipina, Thailand dan Greece




























