VOGE FR150 Formica Rossa menjadi antara supermoped popular di Malaysia. Motosikal jenama VOGE itu dilancarkan di Malaysia Autoshow 2024 pada Mei lalu.
Sebulan selepas debutnya, MForce Bike Holdings (MForce) selaku pemasang dan pengedar rasmi jenama VOGE di Malaysia menerima tempahan lebih 5,000 unit supermoped FR150 Formica Rossa dari seluruh negara.

VOGE FR150 Formica Rossa ada kekuatan dan pakej tersendiri. Motosikal kapcai kelas 150cc dan tak sama macam moped lain yang datang dari China.
Mana datangnya nama Formica Rossa?
Formica Rossa dalam Bahasa Itali bermaksud semut merah. Formica itu semut dan Rossa itu merah. Timbul pertanyaan mengapa ‘semut merah’. Kisahnya ada kaitan dengan ‘penangan’ gigitan semut merah.
“Semut merah tu nampak je kecil tapi sekali dia gigit, sakitnya memang terasa”
Itulah cerita dikongsi kawan dari MForce. Ibaratnya, FR150 Formica Rossa ini mungkin pemain baru dalam pasaran tetapi boleh mendatangkan impak yang amat besar dalam segmen supermoped.
Timbul soalan lagi, mana datang idea guna nama semut. Nama itu datang secara kebetulan semasa orang-orang MForce sedang berbincang tentang apa nama yang sesuai untuk supermoped mereka.
Secara kebetulan, ada yang ternampak semut merah di lantai semasa mereka sedang berborak dan terus terlintas idea untuk guna nama semut merah selepas serangga itu dikenali dengan gigitan ‘berdenyut’.
Mengapa pilih Bahasa Itali?
Kawan di MForce menceritakan mereka kemudian mengeluarkan telefon bimbit dan cuba mencari terjemahan nama semut merah yang lebih sedap didengar. Kiranya nak nama yang unik dan lebih komersial.
Ada beberapa bahasa terjemahan nama digunakan tetapi bunyi Formica Rossa akhirnya dipilih kerana menepati kriteria yang mereka cari. Inilah cerita asal usul nama VOGE FR150 Formica Rossa.
Mengapa 150cc, kenapa bukan 180 atau 200cc?
Kita tahu, segmen kapcai yang semakin membesar dan semakin laris ialah kategori 150cc. Ada dua jenama Jepun sudah lama menguasai segmen ini – apa lagi kalau bukan Yamaha dan Honda.
Suzuki dan Kawasaki tiada model untuk dijadikan pertaruhan dalam segmen moped 150cc. Modenas pula asyik mengumumkan mereka sedang siapkan model supermoped tapi peminat ternyata kecewa menunggu.
Sudah tentu ini segmen paling tepat untuk diteroka untuk VOGE dan MForce. Tapi kena ingat, bukan mudah nak masuk ke kandang Yamaha Y15ZR dan Honda RS/RS-X.
Untuk cabar model Yamaha dan Honda, produk yang diperkenalkan itu mesti berkualiti tinggi dan benar-benar setanding atau lebih tinggi daripada jenama produk Y dan H.
FR150 Formica Rossa guna enjin Honda?
Nampak sama tetapi enjin FR150 Formica Rossa ada beberapa perubahan yang dikatakan tidak akan menghantui pembeli supermoped VOGE.
Wakil VOGE dari China ada kata bahagian dalaman enjin FR150 sebenarnya sudah dinaik taraf dengan saluran minyak enjin dibesarkan, beberapa komponen diubah dan menggunakan material binaan yang lebih baik.
Apa VOGE FR150 Formica Rossa perlukan?
Jujur saya nak cakap, kena pandai jaga pelanggan. Ini termasuk semua benda. Dari mudah dapat alat ganti, cepat beri maklum balas kepada pelanggan, rajin buat program dan bertemu komuniti pemilik VOGE FR150 Formica Rossa. Paling penting, dengarlah permasalahan mereka.
Harga VOGE FR150 Formica Rossa boleh dikatakan lebih mampu milik dipasaran. Barang digunakan pun agak baik contohnya meter digital dan ada Sistem Brek ABS depan belakang. Kualiti motosikal pun agak mengkagumkan. Kawan cakap…. bisnes yang bagus bukan jual produk tapi jaga pelanggan. Iye ke?





















