
Semalam kru kami ada kongsikan luahan kebimbangan Persatuan Penjual Motosikal Elektrik Malaysia (PPMEM) tentang status Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) yang tidak disebut dalam Belanjawan 2026.
Dan malam semalam, media-media utama ada menyiarkan perkembangan terbaru tentang MARiiCas yang dibangkitkan menerusi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan cadangan untuk melanjutkan pelaksanaan program MARiiCas di bawah Belanjawan 2026 kini sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan.
Tengku Zafrul menyatakan sedemikian dalam jawapan bertulis menjawab persoalan yang diajukan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong mengenai MARiiCas
APA SOALANNYA?
Soalan yang ditanya Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong ialah:
…minta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan jumlah subsidi yang telah dihulurkan oleh Kerajaan mengikut tahunan dan model kenderaan elektrik serta permohonan yang telah berjaya dan kenapa pemohon yang telah berjaya berdaftar MARiiCas tetapi tidak dapat tuntut subsidi walaupun QR Code masih sah dan pembayaran pendaftaran telah dibayar.
JAWAPAN TENGKU ZAFRUL
Ini pula jawapan dari Tengku Zafrul berhubung pertanyaan Hok Liong:
Tuan Yang Dipertua,
1. Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) telah diluluskan dan diumumkan oleh Kerajaan di bawah Belanjawan 2024, serta dilanjutkan pelaksanaannya sehingga tahun 2025.
Skim ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang berpendapatan tahunan di bawah RM120,000 termasuk pelajar dan pesara yang mempunyai lesen memandu motosikal yang sah (B, B1 atau B2).
Program ini menyasarkan seramai 12,155 orang rakyat Malaysia untuk menerima manfaat daripada pelaksanaannya, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM29,172,000 telah disediakan.
2. Sehingga 8 Oktober 2025, seramai 10,600 pemohon di bawah Program MARiiCas, iaitu bersamaan dengan 87.2% daripada jumlah pemohon yang disasarkan, telah berjaya membuat
pembelian motosikal elektrik dengan menerima rebat sebanyak RM2,400 setiap seorang, melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM26,097,600.Bagi tahun 2024, sebanyak 19 model motosikal elektrik telah ditawarkan kepada 3,582 pemohon yang berjaya membuat pembelian.
Sementara itu, bagi tahun 2025 (sehingga 1 September 2025), sebanyak 28 model motosikal elektrik telah ditawarkan kepada 7,018 pemohon yang berjaya membuat pembelian.
Peningkatan bilangan pembeli hampir 100% ini amat memberangsangkan, dan cadangan untuk melanjutkan pelaksanaan program ini di bawah Belanjawan 2026 kini sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan.
3. Bagi menyertai program ini, pemohon perlu mendaftar akaun MARiiCAS sebelum memohon untuk membeli motosikal elektrik di bawah program ini. Sekiranya terdapat individu yang telah berdaftar di bawah Program MARiiCas tetapi tidak dapat menuntut rebat tersebut, ia adalah disebabkan individu berkenaan tidak memenuhi syarat kelayakan pendapatan tahunan dan pemilikan lesen memandu yang telah ditetapkan.
Sekian, terima kasih.
ARTIKEL BERKAITAN EV
- YADEA RS20: Skuter elektrik mampu milik, harga badan RM4,998
- YADEA Velax: Skuter elektrik baru lancar sudah sertai Program MARiiCas, ada rebat RM2,400!
- YADEA GT20 (2025) dilancarkan di Malaysia, harga badan RM4,998
- Skuter elektrik YADEA E8S Pro 2023 dilancarkan, harga RM 5,999
- ZEEHO AE6, ZEEHO CITY Sport akan buat kemunculan di Malaysia
- Skuter elektrik ZEEHO AE8 S+ (2024) lancar di Malaysia, harga asas RM18,888
- QJMOTOR e-LTR (2025): Skuter EV pertama QJMOTOR Malaysia, harga RM6,999
- FAQ: 10 soalan tentang QJMOTOR e-LTR (2025)
- Skuter elektrik BMW CE 04 2023 rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, harga RM 59,500
- Kawasaki perkenal model elektrik, hibrid dan hidrogen di EICMA 2022

