Aveta Falcon 180 (2026) rasmi di Malaysia dengan tiga warna pilihan, harga badan RM9,798

Aveta Motor Malaysia melancarkan skuter terbaharu mereka iaitu Aveta Falcon 180 yang didatangkan dengan tiga warna pilihan iaitu Storm Grey, Sahara Bronze dan Alpine White.

Falcon 180 menawarkan pengembaraan harian, sesuai untuk peminat pengembaraan dan laluan off-road ringan serta mereka yang ingin kembara jarak sederhana jauh.

Skuter ini menggunakan enjin silinder tunggan 174cc 4-injap dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api menghasilkan kuasa 13.6kW dan tork 17.2 Nm.

Sistem transmisi jenis CVT automatik dengan pacuan tali sawat. Bukannya rantai.

Fork depan jenis terbalik (USD) dengan set absober belakang berkembar siap dengan sub-tank. Jarak lega bumi 140mm.

Kedudukan pemijak kaki kedua membolehkan penunggang berdiri ketika meredah laluan tidak berturap dan permukaan tidak rata.

Rim depan 14 inci berbalut tayar 110/80 (depan) dan 130/70-13 di belakang.

Berat skuter 155kg dan tinggi pelana 790mm.

Ciri keselamatan dan bantuan tunggangan diberi termasuk sistem ABS depan dan belakang dan kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dinyah aktif.

Ciri lain ialah tangki bahan api 14 liter, skrin sentuh TFT 7 inci, kamera dashcam depan dan sistem kunci pintar.

Ruang simpanan nampak luas, sistem pencahayaan jenis LED dan ada Sistem Henti Lahu (ISS) yang boleh diaktifkan. Ada USB Type-A dan Type-C.

Selain Falcon 180, Aveta Motor Malaysia juga melancarkan satu lagi model edisi terhad iaitu NOVA 200.