Mana hilangnya supermoped Aveta SVR180 dan sportbike VZR250?

Mungkin ada yang tidak sedar, Aveta Motor Malaysia sebenarnya sudah buat susunan semula tawaran produk yang dipaparkan pada laman web mereka.

Ini termasuk beberapa produk tiba-tiba ‘hilang’ daripada beberapa segmen motosikal seperti supermoped dan sportbike suku liter semenjak laman web kuning bertukar biru.

Supermoped SVR180

Ya, Aveta pernah ada model supermoped yang menjadi bahan bualan ramai iaitu Aveta SVR180. Kalau tak silap, model ini ada membuat penampilan pada tahun 2022.

Harga badan diumumkan pada waktu itu sedikit sebanyak ‘menakutkan’ segelintir pemain lain. Supermoped satu silinder 175cc DOHC sejukan cecair dengan transmisi klac manual 6-kelajuan tapi harga badannya bawah RM10,000.

Secara realitinya, model ini masih agak sukar untuk dilihat berada di jalan raya awam. Mungkin ada tetapi bukan satu pandangan biasa.

Sportbike VZR250

Tahun 2023 menyaksikan Aveta Motor Malaysia membuka lembaran baharu iaitu menyertai saingan segmen sportbike suku liter dengan model Aveta VZR250.

Pada waktu itu, inilah model berkapasiti paling besar menggunakan label Aveta dan dilancarkan dengan harga badan RM14,998.

Spesifikasi termasuk enjin sati silinder 250cc DOCH dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api, menawarkan kuasa 25hp dan tork 21Nm.

Menariknya, model ini menggunakan brek cakera berkembar untuk roda depan tapi tiada brek ABS. Apa yang diberi ialah Sistem Brek Kombi (CBS) untuk sportbike seberat 186kg. Tangki minyak 14 liter.

Apa yang berlaku?

Persoalannya, mengapa Aveta Motor Malaysia ‘tinggalkan’ dua segmen ini tanpa sebarang berita?

Melihat apa yang sedang berlaku, penulis percaya Aveta membuat transformasi hala tuju perjalanan mereka dan memilih ‘medan tempur’ secara lebih logik.

Tidak perlu buang masa, tenaga dan pelaburan untuk segmen yang tidak memihak kepada mereka.

Ramai yang tahu, pilihan utama supermoped pengguna Malaysia sudah tentunya jenama Yamaha dan Honda.

Waktu itu, VOGE FR150 Formica Rossa belum muncul di pasaran manakala Modenas Z15GT itu masih di peringkat ‘cakap-cakap’.

Selain SVR180 dan VZR250, Aveta juga mengeluarkan beberapa produk lain seperti skuter VADV 150 Hibrid dan Ranger 110 yang dipercayai kurang diminati pelanggan tempatan.

Istilah apa yang penulis biasa dengar dalam ucapan dan pengumuman orang kuat Aveta ialah komuniti, pelanggan dan maklum balas.

Penulis percaya tiga istilah ini adalah antara sebab utama mengapa Aveta mengembangkan siri Vanguard dan NOVA diikuti dengan menambah beberapa nama baharu seperti Viper, Serra, Bellagio dan terbaharu Falcon.

Dikira secara kasar, Aveta kini menawarkan pilihan 10 model skuter (tidak termasuk versi Edisi Khas dan Edisi Terhad). Banyaknya daripada tiga istilah itu dan ada beberapa model seolah-olah menduga pasaran…. ini cuma pandangan peribadi penulis.