AFAZ sudah mula beri petunjuk awal, bakal lancar tak lama lagi?

Dua bulan lalu, kru kami ada bertanya tentang jenama AFAZ yang sekian lama mendiamkan diri dalam industri selepas membuat pengumuman dua tahun lalu.

Cerita mengenai AFAZ ini bukan baru dan pernah hangat diperkatakan susulan maklumat mengatakan ada kerjasama dengan Suzuki Jepun (Suzuki Motor Corporation – SMC) yang akan membekalkan beberapa komponen penting.

Jika betul apa yang diperkatakan (komponen dari SMC), memang ini sebuah motosikal yang pasti tidak menghampakan mereka yang setia menunggu kemunculannya.

Hari ini sudah ada petanda awal. Kru kami menerima sekeping gambar menunjukkan sport rim dengan terteranya jenama AFAZ. Satu petunjuk AFAZ memang serius dan teliti.

Ada yang tertanya, adakah ini rim yang akan digunakan supermoped AFAZ?

Pertanyaan ini sudah tentu ada kaitan dengan perkembangan terkini dari jenama Modenas yang mula mendedahkan sedikit tentang supermoped mereka menerusi beberapa saluran media.

Tak dapat dipastikan sama ada AFAZ akan melancarkan satu atau dua model dalam masa terdekat. Cuma apa yang kami tau, model pertama AFAZ jenis kapcai sudah siap dan menunggu giliran menemui pengguna.

Ini sudah masuk bulan Oktober, bulan yang dikatakan bulan kelahiran supermoped Modenas. Adakah AFAZ akan susul selepas Modenas atau… mungkin lebih awal?