Model kapcai pertama keluaran AFAZ, adakah diasaskan daripada model Suzuki Smash Fi 2024?

Pengeluar motosikal nasional kedua selepas Modenas iaitu AFAZ, sebelum ini dikatakan bakal melancarkan model pertama keluarannya iatu sebuah motosikal jenis kapcai.

Model tersebut dijadualkan akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada separuh pertama tahun depan, dengan rekaannya akan menggunakan DNA bercirikan Itali dan juga Jepun.

Menurut laporan dari Suzuki pula, syarikat itu akan membekalkan bahagian enjin dan badan untuk model-model dengan enjin di antara 110cc sehingga 150cc kepada AFAZ.

Suzuki juga mengatakan mereka akan membekalkan komponen-komponen berkenaan bermula dari suku pertama 2024, daripada kilang mereka yang terletak di Asia Tenggara.

Namun persoalannya pada ketika ini ialah model keluaran Suzuki apakah yang bakal menjadi asas kepada model kapcai pertama yang akan dikeluarkan oleh AFAZ nanti?

Setakat ini antara model kapcai popular keluaran Suzuki di pasaran ASEAN ialah Suzuki Smash Fi 2024, yang baru saja dilancarkan di pasaran Filipina pada bulan November 2023.

Untuk pasaran negara kepulauan itu, Suzuki Smash Fi 2024 ditawarkan dalam dua versi, iaitu dengan rim aloi dan sistem brek cakera, dan rim berjejari dengan brek jenis dram.

Boleh jadi model kapcai pertama keluaran AFAZ nanti akan menggunakan enjin dan badan milik Suzuki Smash Fi 2024, di samping tampil dengan rekaan luaran serba baharu.

Jika benar model kapcai pertama keluaran AFAZ nanti diasaskan daripada model Suzuki Smash Fi 2024, sudah pasti ianya akan mampu menarik perhatian daripada ramai pembeli.

Di pasaran Filipina, Suzuki Smash Fi 2024 dengan rim aloi dan sistem brek cakera ditawarkan dengan harga jualan berpatutan, iaitu sebanyak PHP 71,400.00 (RM 5,994.15).

Di bahagian spesifikasi, enjinnya bersesaran 113cc (4-stroke, SOHC, 1-cylinder, 2-valve) dengan kuasa maksimum 9.25hp @ 7,500rpm dan tork maksimum 9.1Nm @ 6,500rpm.

Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan. Tangki bahan apinya 3.7 liter, dengan tahap penggunaan bahan api 68 km/liter yang begitu menjimatkan.

Pada awal tahun depan, dijangkakan AFAZ akan memberikan lebih banyak maklumat mengenai model-model yang akan dikeluarkan, termasuklah model moped dengan enjin 150cc.