Selepas Modenas, pasaran Malaysia kini menerima satu lagi pengeluar motosikal yang bertaraf nasional iaitu AFAZ. Untuk makluman, jenama tersebut terhasil daripada kerjasama di antara sebuah syarikat tempatan iaitu KMSB Motors Sdn. Bhd. (KMSB), dengan sebuah syarikat Jepun bertaraf antarabangsa yang sudah cukup dikenali ramai iaitu Suzuki Motor Corporation (SMC).
Di pasaran Malaysia, KMSB Motors Sdn. Bhd. (KMSB) pada ketika ini menjadi pengedar rasmi Suzuki Malaysia, yang mengedarkan model-model motosikal menarik dalam segmen berkuasa tinggi, adventure, naked, sport, skuter, dan termasuklah juga model moped Suzuki Raider R150 Fi. Jadi tidak hairanlah AFAZ kini bergandingan bersama-sama jenama Suzuki dari Jepun.
Setakat ini menurut sumber dari Paultan.org, model pertama keluaran AFAZ nanti ialah sebuah model kapcai, seperti mana yang dimaklumkan sendiri oleh Datuk Jeffery Lim, Pengarah Urusan Kumpulan AFY Mobility Industries (AFI). Model kapcai tersebut dijangka akan dilancarkan pada separuh pertama tahun depan, dan ianya direka menggunakan DNA bercirikan Itali dan Jepun.
Selain itu, perancangan terkini AFAZ dalam masa terdekat ialah pemerolehan kemudahan fasiliti pengeluaran baharu yang terletak di salah satu daripada tiga negeri pilihan, dan perbincangan dengan tiga kerajaan negeri yang tidak disebutkan itu masih berjalan. Lebih menarik, AFAZ juga dalam perancangan untuk mengeksport model-model keluarannya pada masa akan datang.