Mencari asal usul : WMoto F15 2022 di pasaran Malaysia

WMoto Malaysia baru-baru ini telah melancarkan sebuah model moped terbaharu untuk pasaran tempatan iaitu WMoto F15 2022. Sejurus dilancarkan, model tersebut berjaya menarik perhatian ramai peminat motosikal tempatan kerana gaya penampilannya yang sporty dan ranggi, pilihan warna yang menyerlah dan harga jualannya yang berpatutan.

Namun masih ramai yang tertanya-tanya dari manakah asalnya jenama WMoto ini, dan adakah ianya benar-benar sebuah model moped keluaran tempatan? Untuk makluman, WMoto sememangnya sebuah jenama pengeluar motosikal tempatan, yang mana ianya berada di bawah edaran syarikat tempatan terkenal MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

MForce ditubuhkan pada tahun 2008, dan sehingga kini syarikat tersebut mengedarkan pelbagai model motosikal dan skuter di bawah beberapa jenama antarabangsa seperti Benelli, Keeway, SYM, Brixton dan Niu, termasuk dua jenama motosikal tempatan iaitu SM Sport dan WMoto. Ibu pejabat MForce pada ketika ini beralamat di No. 1485, Jalan Seruling, Kawasan Perindustrian Valdor, 14200, Sungai Jawi, Pulau Pinang, Malaysia.

Selain daripada model WMoto F15, WMoto juga menawarkan model-model lain seperti WMoto Cub Classic 110, WMoto WM110, WMoto VE1-110E, WMoto ES125, WMoto RT3, WMoto Xtreme 150i dan WMoto V16. Pada tahun depan, syarikat tersebut juga bakal melancarkan sebuah model skuter ADV terbaharu iaitu WMoto Xtreme 250 2022.

Kembali kepada persoalan awal mengenai model moped terbaharu WMoto F15, adakah ianya merupakan motosikal buatan tempatan sepenuhnya? Berdasarkan maklumat dan informasi terdahulu, WMoto F15 berasal usul daripada model Yingang Flash 150, yang dikeluarkan oleh syarikat Chongqing Yingang Technology (Group) Co., Ltd. dari China.

Yingang Flash 150 kemudiannya telah dijenamakan semula sebagai model Nicot Flash 150 untuk pasaran China, manakala untuk pasaran negara jiran Filipina, ianya dikenali dengan nama Rusi Flash 150 EFI. Malah model tersebut seterusnya dilancarkan untuk pasaran Greece, menggunakan nama baharu Malaguti Spectre GP 125. Namun untuk pasaran Greece, ianya menggunakan enjin dalam sesaran 125cc yang bertaraf Euro 5.

Kesimpulannya, WMoto F15 merupakan sebuah model motosikal keluaran syarikat dari negara China, yang kemudiannya telah dijenamakan semula oleh WMoto khusus untuk pasaran di Malaysia. Walaupun merupakan model yang hanya bertaraf ‘rebadge’, ianya dipasang secara tempatan oleh kilang milik MForce dengan piawaian kualiti yang ketat.

Menurut MForce, para peminat motosikal tempatan tidak perlu merasa bimbang kerana dengan setiap pembelian WMoto F15, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama tempoh dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba lebih awal), dan juga perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara di dalam talian oleh MForce.