WMoto Malaysia hari ini dengan rasminya melancarkan model skuter terbaharu WMoto Xtreme 150i 2021. Hadir dalam dua pilihan warna Kelabu dan Merah, harga jualan asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 9,588.00 sahaja. Lebih menarik, ianya menerima penarafan lima bintang menerusi Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP).
Melalui penarafan itu, WMoto Xtreme 150i telah diakui sebagai sebuah model motosikal paling selamat yang dilengkapi dengan sistem brek ABS. Pengiktirafan itu diperolehi daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang menjalinkan kerjasama dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Menurut MIROS, penarafan bintang MyMap diperolehi hasil daripada penilaian empat ciri-ciri utama iaitu pematuhan kepada peraturan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah, Pematuhan Pengeluaran (COP), teknologi ciri keselamatan dan juga program sokongan keselamatan yang khusus untuk pengguna.
WMoto Xtreme 150i dilengkapi enjin bersesaran 149.3cc (silinder tunggal, empat lejang, SOHC, sistem penyejukan cecair) yang patuh piawaian emisi Euro 4, dan dipadankan dengan transmisi automatik CVT yang lancar. Jumlah keluaran kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 12.1hp @ 8,500rpm, dengan tork maksimum 11.8Nm @ 5,000rpm.
Melengkapkan lagi skuter yang memiliki reka bentuk lasak dan berdaya tahan tinggi itu ialah tangki bahan api berkapasiti 11 liter untuk perjalanan lebih jauh. Menurut WMoto Malaysia, jarak perjalanan yang boleh dicapai dengan setangki penuh meliputi kira-kira sejauh 400 km, dalam semua keadaan jalan dan corak tunggangan yang pelbagai.
Skuter dengan berat 143 kg itu turut dilengkapi teknologi mula-henti (start-stop) untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api dan meminimumkan pelepasan “emission” terutamanya semasa berhenti di lampu isyarat atau ketika dalam kesesakan jalan raya. Pada bahagian roda, kedua-duanya menggunakan sistem brek cakera dengan ABS.
WMoto Xtreme 150i seterusnya dilengkapi fork depan jenis “Up Side Down”, sementara suspensi belakang monoshock hadir dengan ciri boleh laras. Sistem suspensi tersebut menawarkan serapan hentakan dan tahap keselesaan yang lebih baik. Kelegaan tanah adalah 180 mm, untuk penunggangan lasak semasa di laluan tidak rata dan berbukit.
Sistem lampu pada WMoto Extreme 150i adalah LED sepenuhnya, dan lampu utama dipadankan bersama lampu nyala siang (DRL) berbentuk teknikal dan terkini. Skuter itu turut menggunakan paparan panel meter digital LCD sepenuhnya, yang memaparkan maklumat tunggangan serba lengkap. Ruang simpanan yang tersedia juga cukup luas.
Visor angin boleh laras ditambah pada skuter berkenaan untuk tujuan kemudahan dan keselesaaan sewaktu tunggangan. Ianya mudah dilaraskan, dalam julat 5 cm mengikut ketinggian dan kesesuaian penunggang tanpa memerlukan peralatan khas. Dua port pengecas iaitu USB dan soket berkuasa 12V tersedia untuk mengecas telefon bimbit.
Untuk ketenangan minda dengan setiap pembelian WMoto Xtreme 150i, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba lebih dahulu). Untuk lebih kemudahan, pengedarnya iaitu MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. turut menawarkan pembelian alat ganti tulen secara atas talian.