WMoto VE1-110E 2021 di pasaran Malaysia, tampil sporty dengan pilihan skim warna dan grafik yang menyerlah

Merujuk kepada laman sesawang rasmi WMoto Malaysia sebelum ini, syarikat tersebut menawarkan tiga buah model kapcai iaitu WMoto Cub Classic 110, WMoto VE1 110, dan WMoto WM110. Bagaimanapun baru-baru ini terdapat sebuah lagi model kapcai terbaharu yang dipaparkan di dalam laman sesawang itu, iaitu WMoto VE1-110E 2021.

Melihat dengan lebih dekat, WMoto VE1-110E didapati merupakan varian ketiga bagi model kapcai WMoto VE1 110, selepas dua varian sebelumnya WMoto VE1 110H dan WMoto VE1 110R. Apa yang menariknya ialah WMoto VE1-110E tampil begitu sporty dengan tiga pilihan skim warna dan grafik yang menyerlah iaitu Silver, Blue dan Red.

Di bahagian enjin, ianya hadir dalam sesaran 106.7cc (single cylinder, 4 stroke, SOHC, air cooled), dengan kuasa maksimum 6.5hp @ 8,000rpm dan tork maksimum 6.9Nm @ 6,000rpm. Sesaran enjin tersebut sebenarnya lebih kecil berbanding model WMoto VE1 110, yang mempunyai enjin 109.2cc, (8.23hp @ 7,500rpm dan 8.42Nm @ 5,500rpm).

Sistem transmisi pula adalah sama iaitu empat kelajuan. WMoto VE1-110E seterusnya dilengkapi sistem penghidup tendang dan elektrik, tangki bahan api 4.0 liter, fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar, brek depan dan belakang jenis dram, tinggi pelana 760 mm, dan tayar dalam saiz 70/90-17 (depan) dan 80/90-17 (belakang).

Setakat ini tiada maklumat rasmi mengenai harga yang ditawarkan untuk model kapcai terbaharu WMoto VE1-110E 2021 ini, namun ianya dijangka sangat berpatutan. Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh kunjungi bilik pameran pengedar WMoto berdekatan. Sebelum itu, saksikan dahulu gambar-gambar menariknya di dalam galeri di bawah.