WMoto F15 2022 rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia, harga asas mampu milik serendah RM 5,999.00 sahaja

WMoto Malaysia hari ini dengan rasminya melancarkan sebuah model moped terbaharu untuk pasaran Malaysia, dikenali dengan nama WMoto F15 2022. Didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Dark Blue, Green dan Turqoise, model berkenaan ditawarkan dengan harga asas yang cukup berpatutan, serendah RM 5,999.00 sahaja.

Walaupun mempunyai tanda harga mampu milik, WMoto F15 mempunyai gaya rekaan yang sporty, dan mampu memberikan saingan terhadap model-model moped lain yang sekelas dengannya. Di bahagian enjin, ianya bersesaran 149.2cc (empat lejang, silinder tunggal, dua injap, SOHC), dan digandingkan dengan sistem transmisi lima kelajuan.

Enjin yang turut dilengkapi sistem suntikan bahan api dan sistem sejukan jenis udara itu menghasilkan kuasa maksimum 10.5hp @ 7,000rpm, dengan tork maksimum 11Nm @ 5,500rpm. Sistem penghidupnya pula merupakan jenis tendang dan elektrik, manakala tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 5.5 liter untuk perjalanan lebih jauh.

Sistem suspensi WMoto F15 pada bahagian depan ialah fork teleskopik, bersama-sama penyerap hentak tunggal atau monoshock di bahagian belakang. Di bahagian brek pula, ianya dilengkapi brek cakera depan 290 mm dan brek cakera belakang 190 mm. Tayar depan dan belakangnya pula masing-masing berukuran 70/90-R17 dan 100/70-R17.

Ketinggian tempat duduk WMoto F15 cuma 770 mm, yang tentunya bersesuaian untuk kebanyakan penunggang. Sistem lampu merupakan LED kesemuanya, termasuk lampu kepala yang terbahagi kepada dua bahagian, atas untuk lampu rendah dan bawah bagi lampu tinggi. Panel meter pula merupakan gabungan analog dan digital pelbagai info.

WMoto F15 2022 seterusnya dilengkapi tempat duduk dwi tekstur yang selesa. Untuk kemudahan mengecas telefon bimbit, port pengecas USB turut disediakan sebagai ciri standard. Dengan harga jualan asas mampu milik dan spesifikasi yang menarik, WMoto F15 pastinya akan mampu menarik perhatian peminat motosikal di pasaran tempatan.