Zontes ZT155G 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, tangki petrol 20 liter, ABS Dual Channel, harga asas RM 10,800.00

Untuk pasaran tempatan, Zontes Malaysia pada hari ini dengan rasminya melancarkan sebuah model terbaharu yang ditunggu-tunggu iaitu Zontes ZT155G 2021. Didatangkan dalam dua pilihan warna Yellow dan Piano Black, harga jualan asasnya yang ditetapkan untuk model berkenaan boleh dikatakan begitu berpatutan iaitu RM 10,800.00 sahaja.

Zontes ZT155G dikuasakan enjin bersesaran 155cc dengan sistem suntikan bahan api dan sistem penyejukan jenis cecair, dan enjin tersebut mematuhi piawaian emisi Euro 5. Enjin satu silinder buatan aloi aluminium itu dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan, dengan kuasa maksimum 18.8hp @ 9,250rpm dan tork 16Nm @ 7,500rpm.

Untuk tunggangan yang lebih mudah, Zontes ZT155G turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Antara ciri paling menarik untuk model seberat 117 kg (kerb weight) ini ialah tangki bahan apinya mempunyai kapasiti muatan penuh 20 liter, memberikannya jaminan jarak perjalanan menjangkau hampir 1,000 km, sebelum perlu diisi semula.

Sistem suspensi Zontes ZT155G juga tidak kurang hebatnya, apabila fork depan USD digandingkan dengan suspensi belakang Nitrogen Monoshock, di samping lengan ayun buatan aluminium yang sangat ringan. Sistem brek cakera dengan teknologi Bosch ABS Dual Channel seterusnya melengkapkan aspek keselamatan untuk model berkenaan.

Di bahagian roda, Zontes ZT155G dilengkapi sepasang rim aloi aluminium yang ringan dengan gaya rekaan sporty, yang kemudiannya dipadankan tayar dalam siri 110/70-R17 di bahagian depan dan 130/70-R17 di bahagian belakangnya. Tayar dalam segmen ‘all-terrain’ yang digunakan itu berdaya tahan dan lasak, mampu meredah pelbagai jalan.

Melengkapkan lagi spesifikasi dan ciri-ciri teknikal Zontes ZT155G yang begitu impresif ini ialah dua mod tunggangan Eco dan Sport, sistem lampu LED sepenuhnya, paparan instrumen digital LCD, port pengecas USB berkembar dengan ciri pengecasan pantas, Forged Hand Guard, dan Crash Bar untuk perlindungan keselamatan yang lebih besar.

Menurut Zontes, ZT155G merupakan sebuah model scrambler moden yang memenuhi keperluan setiap penunggang, sama ada untuk tunggangan harian atau pun perjalanan jarak jauh. Melihat kepada harga, reka bentuk dan ciri-ciri yang ditawarkan, mungkinkah Zontes ZT155G 2021 ini bakal menjadi model ‘game changer’ di pasaran Malaysia?