Skuter WMoto ES125 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas bermula dari RM 4,588.00

WMoto Malaysia hari ini dengan rasminya melancarkan sebuah model skuter terbaharu untuk pasaran tempatan. Dikenali dengan nama WMoto ES125, ianya hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Merah, Kelabu dan Hitam untuk varian Standard, sementara varian Special Edition didatangkan dalam skim warna Hijau dan rim berwarna Jingga.

WMoto ES125 dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 118.8cc (single-cylinder, air-cooled), yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi CVT. Enjin yang mesra alam itu dilengkapi teknologi ECS (Environment Care System), serta menghasilkan kuasa maksimum sehingga 8.7hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 9.5Nm @ 6,000rpm.

Untuk keselesaan, skuter WMoto ES125 ini dilengkapi suspensi depan jenis teleskopik, bersama-sama suspensi belakang tunggal daripada jenama Kayaba (KYB). Sistem brek cakera di bahagian depan melengkapkan ciri-ciri keselamatannya, dan pada masa yang sama turut dilengkapi brek parking untuk mengelakkan pecutan tanpa disengajakan.

Antara ciri-ciri menarik yang didatangkan bersama-sama WMoto ES125 ini termasuklah port pengecas USB 2.0 untuk kemudahan mengecas telefon bimbit, ruang kompatmen di bahagian hadapan, tempat duduk yang selesa dan ergonomik, ruang simpanan di bawah tempat duduk seluas 9.0 liter dan lantai jenis rata dengan ruang kaki yang luas.

Selain itu ianya juga dilengkapi lampu depan dengan ciri lampu DRL yang terang. WMoto ES125 mempunyai berat hanya 95 kg untuk pengendalian yang mudah dan sesuai untuk perjalanan harian. Oleh kerana beratnya yang ringan, kapasiti maksimum tangki bahan api sebanyak 3.0 liter pada model skuter berkenaan adalah mencukupi.

Untuk pasaran tempatan, WMoto ES125 2021 ini ditawarkan pada harga asas bermula dari RM 4,588.00 untuk varian Standard dan RM 4,888.00 untuk varian Special Edition (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Tempahan kini boleh dibuat di mana-mana cawangan pengedar WMoto Malaysia yang sah di seluruh negara.

Artikel menarik minggu ini :