Skuter maxi WMoto RT3 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 15,188.00

WMoto Malaysia hari ini dengan rasminya melancarkan sebuah model skuter maxi terbaharu yang diberi nama WMoto RT3 2021. Model tersebut didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Glittery Blue, Red dan Matte Grey, seterusnya hadir dengan penampilan keseluruhan yang bergaya dan lengkap dengan pelbagai ciri-ciri terkini.

WMoto RT3 mempunyai reka bentuk yang sporty dan moden, termasuklah menerima hiasan serat karbon yang eksklusif di beberapa bahagian badannya. Kehadiran WMoto RT3 ini dijangka akan mampu menarik perhatian ramai peminat skuter tempatan yang mahukan sebuah model yang sesuai dan praktikal dalam menjalani urusan seharian.

WMoto RT3 mempunyai prestasi tunggangan yang berkuasa. Ianya dikuasakan enjin bersesaran 247cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valve, DOHC) yang dipadankan transmisi automatik CVT yang lancar. Janaan kuasa maksimum enjin yang patuh piawaian Euro 4 itu mencapai angka 23hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 22.5Nm @ 6,500rpm.

Enjin tersebut turut dilengkapi sistem suntikan bahan api EFI dan sistem penyejukan jenis cecair (liquid-cooled). Dengan kapasiti tangki bahan api maksimum 17 liter, skuter WMoto RT3 ini mampu menawarkan jarak perjalanan yang lebih jauh dengan hanya sekali isian, tanpa perlu berhenti dengan kerap di stesen minyak untuk mengisi petrol.

Antara ciri-ciri utama yang paling menonjol yang dibekalkan untuk WMoto RT3 ini ialah sistem kunci pintar atau Smart Key. Melalui penggunaan sistem kunci pintar itu, adalah mudah untuk menghidupkan atau mematikan enjin, membuka ruang simpanan barang-barang dan tangki bahan api tanpa perlu mengeluarkan kunci dari dalam poket.

Untuk keselesaan dan juga keselamatan, WMoto RT3 dilengkapi suspensi teleskopik di bahagian hadapan dan penyerak hentakan berkembar di bahagian belakang dengan ciri boleh laras. Sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang pula dilengkapi dengan sistem brek ABS daripada Bosch yang meningkatkan lagi ciri keselamatannya.

Ruang simpanan barang-barang yang luas di bawah tempat duduk boleh menempatkan sebuah topi keledar, baju hujan dan barangan peribadi yang lain. Ruang tersebut turut dilengkapi lampu LED untuk meneranginya di persekitaran yang gelap atau pada waktu malam. Dua soket pengecas USB yang terletak di ruang simpanan hadapan pula boleh digunakan untuk kemudahan mengecas dua unit telefon bimbit secara serentak.

WMoto RT3 turut didatangkan ciri-ciri menarik seperti cermin sisi yang boleh dilipat dan dilaraskan, tuas brek yang boleh dilaraskan untuk keselesaan penunggang, lampu latar pada setiap butang kawalan di kedua-dua belah bar hendal sebagai penunjuk, sarung tempat duduk jenis anti-licin untuk mengelakkan gelungsuran dan grip frame mudah alih sporty di bahagian belakang yang boleh menampung beban berat sehingga 5 kg.

Tidak dilupakan ialah WMoto RT3 turut dilengkapi paparan speedometer dalam bentuk digital dan analog, serta didatangkan dalam enam pilihan warna paparan iaitu merah, ungu, jingga, biru, kuning dan putih. Selain itu ianya juga dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, lampu kecemasan, skrin penghadang angin yang besar, tempat pemijak kaki yang selesa dan tayar berukuran 120/70-15 (depan) dan 140/60-14 (belakang).

Menurut WMoto Malaysia, skuter maxi WMoto RT3 2021 ini telah pun berada di semua premis pengedar sah MForce, dengan harga jualan asasnya sebanyak RM 15,188.00 sahaja (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran). Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km (mana-mana yang tiba terdahulu).

Artikel Popular Minggu Ini :