WMoto WM110 2021 kini tampil lebih sporty dan segar dengan kemaskini warna terbaharu

Model kapcai WMoto WM110 2021 kini tampil lebih sporty dan segar, apabila menerima kemaskini warna dan jalur grafik terbaharu. Masih lagi mengekalkan tema warna seperti mana versi terdahulu iaitu Hitam, Biru dan juga Merah, penampilan keseluruhan model itu kini kelihatan lebih premium dan menyerlah, dengan harga jualan yang mampu milik.

Untuk pasaran Malaysia, WMoto WM110 2021 hanya ditawarkan pada harga jualan asas RM3,788.00 sahaja (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Model tersebut turut didatangkan tempoh jaminan selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km, serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

WMoto WM110 dikuasakan enjin bersesaran 109cc (single-cylinder, air-cooled, 4-stroke) yang bersih dan mesra alam, dan menawarkan kuasa maksimum 7.10hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 7.2Nm @ 6,000 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi empat kelajuan yang lancar. Sistem penghidupnya daripada jenis tendang dan elektrik.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi WMoto WM110 ini termasuklah enjin yang cekap penggunaan bahan api, tangki bahan api 4.0 liter, sistem kunci dengan ciri keselamatan, sistem brek depan jenis cakera, lampu hadapan yang terang, sepasang tayar tanpa tiub yang lebih selamat, dan penyerap hentak belakang berkualiti daripada jenama Kayaba.