WMoto atau Wawasan Moto merupakan sebuah jenama motosikal baharu di pasaran tempatan, muncul dengan model pertama WMoto Cub Classic 110 yang dilancarkan pada tarikh 01hb. Disember 2018. Pengedar rasmi motosikal WMoto ialah MForce Bike Holdings Sdn. Bhd., yang turut mengedarkan jenama motosikal SYM dan Benelli.
WMoto Cub Classic 110 tampil sebagai sebuah model kapcai yang bergaya klasik dan retro, didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Matte Red, Matte Black dan Matte Green. Harga jualan asasnya sewaktu dilancarkan sebelum ini adalah sebanyak RM 4,588.00, tidak termasuk insuran dan lain-lain kos pendaftaran.
WMoto Cub Classic 110 dikuasakan enjin empat lejang 109.2cc (air-cooled, single-cylinder) dengan transmisi empat kelajuan berputar, menghasilkan prestasi maksimum 8.0hp (6.0kW) @ 7,500rpm dengan tork puncak 10.7Nm @ 5,500rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem penyampaian bahan api karburator dan mematuhi piawaian Euro 3.
Untuk menghidupkan enjinnya, motosikal tersebut dilengkapi sistem penghidup jenis tendang dan juga elektrik yang lebih memudahkan. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 4 liter, manakala berat motosikal ialah 100 kg. Jarak roda WMoto Cub Classic 110 berada pada ukuran 1,235 mm, dengan jarak kelegaan bumi 130 mm.
WMoto Cub Classic 110 turut hadir dengan pelbagai ciri-ciri yang menarik seperti panel meter bergaya klasik yang bercahaya di dalam gelap, lampu hadapan dan lampu penunjuk arah LED yang moden, soket pengecas USB, tempat duduk belakang dengan rak aluminium, dan fork hadapan USD untuk tunggangan yang lebih menyeronokkan.
Selain daripada model standard Cub Classic 110, WMoto kini turut menawarkan versi Special Edition untuk model berkenaan. Antara kelebihan WMoto Cub Classic 110 Special Edition ialah ianya didatangkan rim aloi sporty, tempat duduk dua warna, posisi raga di bahagian depan dan pelekat Special Edition pada bahagian sisi motosikal.
Untuk ketenangan fikiran, WMoto Cub Classic 110 dan WMoto Cub Classic 110 Special Edition masing-masing didatangkan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km, mana-mana yang terdahulu. Turut ditawarkan ialah bonus jaminan tambahan selama 1 tahun atau 10,000 km, mana-mana yang terdahulu, khusus untuk enjin sahaja.