Aveta VS13 bakal dilancarkan tidak lama lagi, adakah ianya sama seperti spyshot model moped ini?

Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. merupakan pengeluar motosikal tempatan yang baru saja bertapak sejak tahun 2020 yang lalu. Ketika ini syarikat tersebut telah menawarkan beberapa buah model motosikal iaitu Aveta DY90, Aveta RX110, Aveta Ranger 110 dan Aveta VS110. Tidak lama lagi, Aveta bakal melancarkan model baharu Aveta VS13.

Menurut laman sesawang rasmi Aveta, model baharu Aveta VS13 masih berada dalam fasa ‘coming soon’ atau akan datang. Setakat ini Aveta tidak memberikan butiran lanjut mengenai model tersebut, namun berkemungkinan besar model yang akan dilancarkan itu adalah sama dengan model yang telah ditemui sedang ditunggang uji baru-baru ini.

Model yang sedang ditunggang uji itu dengan jelas memaparkan nama Aveta di bawah lampu depannya di bahagian sisi tepi, seperti mana anda boleh melihatnya dalam imej spyshot di atas. Menariknya model tersebut adalah sama dengan model moped Rato SVR180 2021 buatan syarikat Chongqing Rato Power Co., Ltd. dari negara China.

Jika benar Rato SVR180 akan dijadikan sebagai model baharu Aveta VS13 di pasaran tempatan, ianya merupakan suatu perkembangan yang sangat menarik. Ini kerana Rato SVR180 dilengkapi enjin bersesaran 149.2cc dengan teknologi EFI, dan menghasilkan kuasa maksimum 15.6PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 12.8Nm @ 9,000rpm.

Antara ciri-ciri menarik lain yang melengkapi model moped tersebut termasuklah tangki bahan api dengan keluasan maksimum 7 liter, panel meter digital TFT, sistem lampu LED, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, serta tayar dalam ukuran 90/80-17 (depan) dan 120/70-17 (belakang).

Ianya juga bermakna Aveta VS13 itu nanti akan mampu bersaing dengan model-model moped lain sekelas dengannya seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R, atau juga mungkin akan memberikan saingan terhadap model Yamaha Y16ZR dan Benelli R18i. Namun benarkah Aveta VS13 merupakan ‘rebadge’ daripada model Rato SVR180?

Ini kerana nama Aveta VS13 juga boleh merujuk kepada sebuah model lain yang hadir dengan enjin lebih kecil, sama ada 125cc atau 130cc. Apa pun, yang penting ialah pada ketika ini telah terbukti bahawa Aveta bakal melancarkan sebuah model moped baharu tidak lama lagi, dan model tersebut kini sedang menjalani fasa ujian di jalan raya.