Aveta DY90 dan Aveta RX110 kini di pasaran Malaysia

Jenama pengeluar motosikal baharu di pasaran Malaysia, Aveta Global Marketing baru-baru ini telah memperkenalkan dua model baharu iaitu Aveta DY90 dan Aveta RX110. Berdasarkan maklumat di dalam laman Facebook syarikat tersebut, kedua-dua model berkenaan diperkenalkan di pasaran tempatan dalam bulan Mac 2020 yang lalu.

Aveta DY90 merupakan sebuah model kapcai dengan enjinnya dipercayai mempunyai kapasiti 90cc (4-stroke, single-cylinder, forced air-cooled, horizontal engine), seterusnya dipadankan transmisi empat kelajuan berputar. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 6.14hp (4.58kW) @ 8,000rpm dengan tork 5.7Nm @ 5,500 – 6,000rpm.

Ciri-ciri lain yang melengkapi Aveta DY90 antaranya ialah tangki minyak dengan isian maksimum 3.5 liter, sistem brek jenis dram di bahagian roda depan dan belakang, rim aloi dengan diameter 17 inci, berat kering 103 kilogram dan boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu merah, biru dan hitam. Harganya ditawarkan dalam lingkungan RM 2,800.00 sahaja (rujukan di dalam laman sesawang Mudah.my).

Bagi model Aveta RX110, ianya juga merupakan sebuah model kapcai, namun mempunyai penampilan yang lebih sporty. Model tersebut dilengkapi enjin empat lejang satu silinder yang dipercayai bersesaran 110cc, dengan sistem sejukan udara dan transmisi empat kelajuan berputar. Kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 7.8hp (5.8kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 7.8Nm @ 6,500rpm.

Aveta RX110 mempunyai tangki petrol dengan isian penuh 4.2 liter, suspensi depan teleskopik, suspensi belakang berkembar (gas, teleskopik), brek cakera di bahagian roda depan, brek jenis dram di bahagian roda belakang, rim aloi 17 inci, saiz tayar depan 70/90-17, saiz tayar belakang 80/90-17 dan berat bersih motosikal 123 kilogram.

Model tersebut tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu merah, hijau dan biru. Merujuk kepada maklumat di dalam laman sesawang Mudah.my, Aveta RX110 ditawarkan pada harga dalam lingkungan sebanyak RM 3,500.00 sahaja.

Aveta DY90 dan Aveta RX110 mungkin masih baru di pasaran tempatan, namun kedua-dua model tersebut mengingatkan kita semua kepada dua buah model keluaran syarikat Demak iaitu Demak EX 90 dan Demak DVS 110. Buat masa sekarang tidak dapat dipastikan sama ada Aveta Global Marketing mempunyai kaitan dengan Demak.

Galeri : Aveta DY90 dan Aveta RX110

Galeri : Demak DVS 110

Galeri : Demak EX 90

(Visited 18,196 times, 18 visits today)