
Ada apa dengan Yamaha XMAX 300 Tech Max edisi 2026?
Skuter maxi ini dilancarkan sempena Karnival GenBlu Yamaha 2026 pada Ogos lalu dan XMAX 300 Tech Max ini bukan model pengganti Yamaha XMAX 250. Ini satu varian tambahan.

Memandangkan XMAX 300 Tech Max ini adalah pilihan baharu selain adanya XMAX 250, sudah tentu aspek harga antara perkara yang akan diteliti.
Harga untuk skuter premium?
Harga disyorkan untuk Yamaha XMAX 300 Tech Max ialah RM28,499 seunit, tidak termasuk insurans, cukai jalan, pendaftaran dan caj berkaitan.
Kalau dibandingkan, XMAX 300 Tech Max lebih mahal RM3,611 berbanding Yamaha XMAX 250 (harga disyorkan RM24,888) yang dilancarkan di Malaysia Bike Show 2025.
Perbezaan harga disyorkan ini bukan berpaksikan sepenuhnya kepada tukar ganti blok silinder dengan tambahan kapasiti enjin 42.5cc demi prestasi lebih memberangsangkan.
Tag harga ini juga ada kaitan dengan pakej yang didatangkan bersama XMAX 300 Tech Max supaya nampak mewah dan rasa lebih premium. Ini ciri kelainannya:
- Pelana berbalut material premium seakan kulit.
- Tempat duduk penunggang ada sokongan perehat belakang.
- Penutup ruang simpanan depan (front pocket) berbalut kombinasi material ala suede dan kulit sintetik.
- Ada plet aluminium untuk meletakkan kaki.
- Ada lencana Tech Max.
- Satu warna pilihan Crystal Graphite
Apa rasa tunggang Yamaha XMAX 300 Tech Max?
Bila memandang XMAX 300 Tech Max, tak dinafikan elemen yang diberikan pada skuter itu menjadikannya nampak lebih premium berbanding XMAX 250 biasa.
Persoalannya, adakah nampak premium ini boleh dirasai semasa menunggang XMAX 300 Tech Max? Satu soalan yang agak subjektif sebenarnya. Dan ini adalah pandangan peribadi penulis:
Di kawasan bandar dengan trafik padat, skuter seberat 185kg dengan jarak roda 1,540mm masih mudah untuk dikendalikan.
Cuma, pelana setinggi 805mm dengan ukuran lebar skuter ini memaksa penulis berjinjit-jinjit di atas jalar tar untuk ‘tegakkan’ skuter semasa berhenti (antara 2 barisan kenderaan).
Kusyen tebal bawa keselesaan ditambah adanya sokongan perehat belakang untuk penunggang. Ini dirasai penulis semasa menunggang tanpa henti untuk jarak 100km pertama.
Peningkatan kapasiti enjin itu turut memberi ruang untuk XMAX 300 Tech Max mendapat tambahan kuasa dan tork. Lebih mudah memintas kenderaan lain di jalan.
Prestasi suspensi sedikit keras menggalas tugas baik di permukaan rata. Absober belakang boleh laras tapi set suspensi digunakan bukannya berjenama Ohlins seperti di Thailand.
Jika ini skuter penulis, komponen pertama yang akan ditukar sudah tentunya tayar standard dari kilang. Roda belakang adakala terasa ‘geli-geli’ bila terkena turapan tidak rata jalan raya.
Penghadang angin boleh dilaras semasa menunggang dengan menekan butang pada konsol kawalan sebelah kiri. Lancar.
Apabila dinaikkan ke tahap maksimum, panel plastik itu sama tinggi dengan kedudukan mata penulis dan sedikit sebanyak mengganggu pandangan penulis ke arah hadapan.
Untuk simpanan barang, ruang bawah pelana sememangnya satu kelebihan skuter ini kerana boleh menempatkan dua topi keledar muka penuh (full face) tapi ini masih bergantung saiz topi keledar anda.
Meter digital gabungan skrin TFT dan LCD boleh disambung pada telefon pintar menggunakan Bluetooth. Ketersambungan ini membolehkan anda akses sistem navigasi, muzik, memeriksa cuaca semasa dan beberapa lagi fungsi lain.
Tapi untuk berbuat demikian, anda perlu memuat dua aplikasi berbeza dalam telefon pintar iaitu Yamaha Y-Connect dan Garmin StreetCross.
Aplikasi StreetCross ini adalah untuk menggunakan sistem navigasi dan anda masih perlu memuat turun peta Southeastern Asia sebesar 2.25 gigabit sebelum dapat menggunakannya.
Ada tiga paparan navigasi pada skrin TFT skuter iaitu keseluruhan peta dengan petunjuk arah (default view), arah-ke-arah (turn-by-turn) dan senarai belokan (turn list).
Apabila disambung dengan interkom helmet bluetooth, anda boleh mendengar arahan petunjuk semasa menggunakan navigasi semasa menunggang.
Anda juga boleh zoom peta navigasi pada skrin TFT dengan menekan butang ^ dan v. Nak guna paparan peta 3D pun boleh, ada juga paparan 2D.
Antara komponen yang dirasakan masih boleh dipertingkat ialah kemasan dan kualiti tombol kekunci pintar XMAX 300 Tech Max. Nampak agak ‘murah’ untuk skuter berharga (disyorkan) hampir RM30,000.
Kadar penggunaan minyak petrol yang direkodkan penulis ialah 3.3 liter untuk setiap 100km jarak perjalanan. Tangki minyak 13 liter. Kiraan kasar, hampir 400km dengan setangki petrol.
Kalau nak beli model skuter XMAX 300 Tech Max ini, kena pergi ke premis Yamaha Big Bike. Ada 17 premis di seluruh negara.
Artikel: Ada 200 skuter Yamaha XMAX 300 sudah berada di jalan raya Malaysia…
Galeri Gambar Yamaha XMAX 300 Tech Max (2026)
Spesifikasi Yamaha XMAX 300 Tech Max (2026) vs XMAX 250 (2025)















































