Aveta Ranger 110 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 3,586.10

Syarikat pengeluar motosikal tempatan Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. (Aveta), kini secara rasminya melancarkan sebuah model baharu Aveta Ranger 110 2021 untuk pasaran Malaysia. Model kapcai dengan gaya separa naked dan ranggi itu ditawarkan pada harga asas RM 3,586.10 sahaja (harga atas jalan, tidak termasuk insuran). 

Pelancaran Aveta Ranger 110 2021 merupakan susulan kepada pelancaran dua model terdahulu Aveta DY90 dan Aveta RX110. Sama seperti kedua-dua model berkenaan, Aveta Ranger 110 turut dipasang di kilang milik syarikat Aveta yang terletak di Klang, Selangor melalui pemasangan secara terurai atau CKD (Completely Knocked Down).

Aveta Ranger 110 dilengkapi enjin empat lejang satu silinder yang bersesaran 110cc, dengan sistem sejukan udara dan transmisi empat kelajuan berputar. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 7.8hp (5.8kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 7.8Nm @ 6,500rpm. Enjin itu dikatakan memenuhi piawaian sebagai kenderaan cekap tenaga.

Spesifikasi yang melengkapi Aveta Ranger 110 antaranya termasuklah juga fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar, sistem brek depan dan belakang jenis gelendong, sport rim lima bilah yang bergaya dan lampu depan jenis bulat. Aveta Ranger 110 dilancarkan sebagai sebuah kenderaan yang memenuhi gaya hidup aktif.

Sumber : Motorev FB