Ini jawapan untuk 6 soalan paling banyak orang tanya tentang skuter elektrik EZI Ray 01 (2026)

Selepas berkongsi cerita tentang EZi Ray 01, skuter elektrik itu dilancarkan secara rasminya di pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang sempena majlis Program Mega JPJ Madani 2026 dan sambutan Hari JPJ Ke-80 baru-baru ini.

EZI ialah jenama skuter elektrik bawah Keeway Group dan Ray 01 adalah model kedua jenama tersebut di Malaysia selepas EZI Neo 02.

Berapa Harga Badan EZI RAY 01? RM4,688 atau RM2,288?

Harga badan skuter elektrik EZI Ray 01 ialah RM4,688. Tetapi, dengan menggunakan rebat Mforce.Cas, harga badan akan turun menjadi RM2,288.

Perlu diingatkan, harga badan selepas rebat itu belum dikira caj pendaftaran dan insurans. Dan.. tawaran rebat Mforce.cas sebanyak RM2,400 hanya sah sehingga 30 Jun 2026 atau bergantung kepada stok sedia ada.

Berapa Warna Pilihan EZI RAY 01?

EZI Ray 01 didatangkan dengan empat warna pilihan iaitu putih Nova White, biru Plasma Blue, kelabu Venus Grey dan hitam City Black.

EZI RAY 01 Sesuai Guna Di Mana? Berapa Jauh?

EZI RAY 01 direka untuk kegunaan dalam kawasan bandar atau di kawasan kediaman untuk urusan setempat. Bukan untuk perjalanan jarak jauh atau masuk ke lebuh raya.

Jarak perjalanan yang boleh dicapai pada kelajuan 25km/j ialah 120km. Jika menunggang pada kelajuan lebih tinggi, jaraknya akan berkurangan. Ini bergantung kepada pelbagai faktor termasuk berat penunggang, muatan dibawa dan cara tunggangan.

Berapa Kelajuan Maksimum EZI RAY 01?

Kelajuan maksimum skuter elektrik ini ialah 68 km/j. Lebih sesuai untuk perjalanan jarak dekat hingga sederhana.

EZI RAY 01 menggunakan motor elektrik 2,000W yang dipasang pada hab roda belakang dengan sistem penyejukan udara (air-cooled).

Bateri EZI RAY 01 Boleh Tanggal?

Maklumat yang kami peroleh dari Mforce mengesahkan bateri yang digunakan EZI Ray 01 tidak boleh ditanggalkan. Anda perlu cas bateri dengan menyambung soket pada skuter.

EZI Ray 01 didatangkan dengan enam pek bateri, dua di bawah tempat duduk. Empat lagi ada di bawah tempat letak kaki.

Berapa Lama Perlu Cas Bateri EZI RAY 01?

Jika bateri 0 peratus, masa yang diperlukan untuk mengecas semula ialah 8 jam. Kalau baki bateri skuter EZI Ray 01 antara 20 peratus hingga 30 peratus, masa untuk cas penuh kira-kira 5 jam.

Spesifikasi EZI RAY 01

  • Fork depan jenis teleskopik, belakang set absober berkembar boleh laras prabeban.
  • Sistem brek cakera depan dan belakang.
  • Rim 10 inci dengan balutan tayar saiz 90/90 jenama CST.
  • Dimensi panjang 1,732mm, lebar 746mm dan tinggi 1,067mm. Jarak roda 1,245mm.
  • Tinggi tempat duduk: 735mm.
  • Berat skuter: 130kg.
  • EZI RAY 01 jenis LCD dengan paparan LED.
  • Ada soket pengecas USB.
  • Sistem  kemasukan tanpa kunci (keyless) dan juga boleh diaktifkan menggunakan cip NFC.
  • Sistem pencahayaan LED penuh. Ada lampu DRL.
  • Dilengkapi 6 pek bateri asid plumbum 72V32Ah.
  • Ada tiga mod tunggangan. Ini termasuk E Mode (walk assist) untuk membantu tolakan skuter.
  • Jaminan diberi ialah 2 tahun atau jarak perbatuan 20,000km (mana-mana tiba dulu).