EZI RAY 01: Skuter elektrik bandar debut di EICMA, tunggu masa lancar di Malaysia?

Salah satu model skuter elektrik yang membuat penampilan di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2024 di Itali ialah EZI RAY 01.

EZI RAY 01 digambarkan sebagai skuter elektrik yang memiliki kombinasi terbaik aspek kuasa, bersifat praktikal, cekap tenaga dan direka khas untuk memenuhi keperluan pengguna di bandar.

EZI RAY 01 menggunakan unit motor elektrik berkuasa 2,000w yang dipasang pada hab roda belakang dengan kuasa diperoleh daripada bateri litium-ion 72V 32Ah.

Kelajuan maksimum ialah 60km/j. Jika ditunggang pada kelajuan 45km/j, EZI RAY 01 boleh mencapai jarak sehingga 80km. Masa yang diperlukan untuk mengecas semula bateri ialah 3.5 jam.

Walaupun kelajuan tidak sepantas kapcai atau skuter petrol, EZI RAY 01 tetap dilengkapi sistem brek cakera tunggal untuk kedua-dua roda. Rim digunakan bersaiz 10 inci dengan tayar 90/90.

Berdasarkan maklumat, EZI RAY 01 memiliki keupayaan mendaki cerun 15° dan ketinggian pelana cuma 735mm. Soket USB itu sememangnya ada.

Meter jenis LCD digital penuh berwarna. Sistem pencahayaan LED penuh dengan lampu DRL. Ada ruang simpanan barang bawah pelana.

Dimensi skuter EZI RAY 01 ialah 1,732mm panjang, 746mm lebar dan 1,067mm tinggi. Jarak roda 1,245mm dan berat termasuk bateri ialah 94.6kg.

Ada beberapa pengedar sudah mula mengiklankan skuter elektrik EZI RAY 01 yang didatangkan dengan sekurang-kurangnya empat warna pilihan iaitu putih, kelabu, cyan dan hitam kusam. Harga badan didakwa RM4,688.

Jika mohon Mforce.Cas, anda mungkin dapat rebat RM2,400 yang akan ditolak dari harga badan skuter EZI RAY 01. Apapun, kita tunggu pengumuman rasmi Mforce Bike Holdings.