NOVA ialah siri skuter terbaru dalam produk jualan Aveta Motor Malaysia (Aveta Malaysia) dan syarikat ini akan fokus membawa masuk beberapa lagi skuter untuk tahun 2025.
Malam semalam, Aveta Malaysia lancarkan dua model NOVA iaitu Aveta NOVA 125 dan Aveta NOVA 160 dengan harga yang boleh mengubah lagi corak pembelian skuter di Malaysia.
Dari awal tahun ini, sudah ada beberapa skuter China dan Jepun dilancarkan di Malaysia bermula dengan Zontes 368G, MODA Sporter S 250, SYM Husky ADV300, Aveta Vanguard 250 dan sekarang dua model NOVA.
Aveta NOVA 125 dilancarkan dengan harga badan RM5,188 dan kalau tambah lagi duit RM2,800, boleh dapat Aveta NOVA 160 (harga badan RM7,988).
SKUTER AVETA NOVA 125 (2025)
Skuter dalam kategori asas dan jualan akan ditumpu kepada pembeli pertama kali (first time buyer), kaum wanita, pelajar atau mereka yang nak satu skuter tunggangan jarak dekat (pergi balik masjid atau kedai berhampiran).
Mereka yang akan beli skuter ini juga sudah tentu golongan marhaen gaji rendah-sederhana yang tak mengutamakan jenama tapi lebih memikirkan pergerakan dari A ke B.
Untuk warna Aveta NOVA 125, pilihan disediakan ada tiga – Blue Lemon, Berry Peach dan Grey Lemon. Nama warna pun berunsur buah-buahan.
Aveta NOVA 125 ini ada empat kelebihan untuk sebuah skuter yang belum ada pada model lain dalam kategori 125cc:
- Soket pengecas USB berkembar jenis Type C dan Type A.
- Panel meter digital LCD
- Tangki minyak 6 liter
- Brek jenis Combine Braking System (CBS)
Kalau tengok bentuk badan dan harga Aveta NOVA 125, kami merasakan skuter ini mungkin boleh goda mereka yang merancang beli model Yamaha Ego Gear dan Modenas Karisma 125.
Aveta Malaysia akan mula jual NOVA 125 pada bulan depan (Mac 2025). Bawah ini ialah data perincian (spesifikasi) Aveta NOVA 125 (2025) untuk Malaysia:
- Enjin: 4 strok satu silinder SOHC 2 injap, sejukan udara (air cooled)
- Kapasiti: 125cc
- Bore x stroke: 52.4mm x 57.8mm
- Nisbah mampatan: 9.5 : 1
- Kuasa maksimum: 9.11hp (6.7kW) @ 8,000rpm
- Tork maksimum: 8.6Nm @ 6,500rpm
- Transmisi: CVT (automatik) dengan tali sawat (belt)
- Sistem bahan api: EFI (sistem pancitan)
- Cara hidup enjin: butang elektrik, penendang kaki
- Suspensi depan: fork teleskopik
- Suspensi belakang: monoshock sebelah kiri
- Tayar depan: 80/90 – 14
- Tayar belakang – 90/90 – 14
- Brek depan: cakera
- Brek belakang: drum
- Tak ada brek ABS tapi guna Sistem Brek Kombi (CBS).
- Panjang: 1,930mm
- Lebar: 688mm
- Tinggi: 1,105mm
- Jarak antara roda 1,320mm
- Jarak dari tanah: 140mm
- Tinggi tempat duduk: 765mm
- Berat: 104kg
- Tangki minyak: 6 liter
Gambar kredit pandulaju