Aveta Nova 125 & Nova 160 akan dilancarkan pada 18 Februari 2025?

Tak sampai sebulan pun Aveta Malaysia melancarkan skuter urban Aveta Vanguard 250, mereka sudah bersedia nak tambah lagi satu model skuter baru untuk dipilih pelanggan Malaysia.

Model yang akan ditampilkan itu ialah Aveta Nova 125 dan tarikhnya mungkin pada 18 Februari 2025 ini. Sebenarnya, Aveta Malaysia sedang menunjukkan model ini dalam video teaser di media sosialnya.

Paultan.org sudah mendedahkan bukan satu skuter Nova akan dilancarkan tapi dua – Aveta Nova 125 dan Aveta Nova 160, dengan harga badan dari RM6,000 sampai RM9,000.

Kalau kita masih ingat, Aveta pernah tayangkan Nova 125 berwarna putih semasa pelancaran Ranger Cub Cross 115 di Malaysia Autoshow 2024.

Aveta Nova 125 ini sudah ada di pasaran global tapi menggunakan nama berbeza. Bawah ini ada beberapa contoh kembar Aveta Nova 125 di dunia:

  • Turkiye: Legal Resa 125
  • Itali: Lem V11 125
  • Amerika Syarikat: Xpeed 125 RX
  • China: Vipard V11 125

Maklumat spesifikasi atau teknikal Aveta Nova 125 ada dikongsi di bawah tapi sebelum itu, mari kita tengok apa beza Nova 125 dan Nova 160 dulu.

Mengikut Paultan.org, Nova 160 menggunakan enjin (satu silinder) dengan sistem penyejukan cecair (liquid cooled) dan ada sistem tanpa anak kunci (keyless), meter LCD, lampu LED dan tangki minyak 8 liter.

DATA TEKNIKAL (SPESIFIKASI) AVETA NOVA 125

Data teknikal Aveta Nova 125 ini pernah ditunjukkan Aveta sebelum ini tapi ini mungkin berbeza sedikit (belum rasmi) dan tak berapa lengkap. Mari kita tengok apa yang ada:

  • Enjin: sejukan udara, 4-lejang, SOHC, CVT
  • Kapasiti: 125cc
  • Kuasa maksimum: 6.7kW @ 8,000rpm
  • Tork maksimum: 8.6Nm @ 6,500rpm
  • Suspensi depan: fork teleskopik biasa
  • Suspensi belakang: absober sebelah
  • Tayar depan: 80/80 – 14
  • Tayar belakang: 90/90 – 14
  • Brek depan: cakera dengan CBS (combine braking system)
  • Brek belakang: drum
  • Jarak dari bumi: 140mm
  • Tinggi tempat duduk: 765mm
  • Tangki minyak: 6 liter
  • Meter: digital