Untuk pasaran Eropah dan USA, Yamaha baru-baru ini telah memperkenalkan tiga buah model istimewa yang tampil dalam skim warna bersejarah World GP 60th Anniversary Edition. Ketiga-tiga model itu ialah Yamaha YZF-R3, Yamaha YZF-R7 dan Yamaha YZF-R1. Sebuah lagi model iaitu Yamaha YZF-R125 hanya eksklusif untuk pasaran Eropah.
Yamaha YZF-R1 World GP 60th Anniversary Edition 2022 akan berada di pasaran Eropah mulai bulan Disember 2021, manakala untuk pasaran USA, ianya akan tiba mulai bulan November 2021. Sebagai maklumat tambahan, harga jualan yang ditetapkan untuk model berkenaan di pasaran USA adalah sebanyak $18,099, bersamaan nilai RM 75,662.87.
Berbanding versi standard, Yamaha YZF-R1 World GP 60th Anniversary Edition tampil dengan kemasan badan berwarna putih dan grafik blok merah, emblem 60th Anniversary, jalur merah di atas tangki bahan api dan ekor, fender depan berwarna merah, plat nombor depan berwarna kuning dan sepasang rim roda yang sporty dalam warna keemasan.
Di bahagian teknikal, Yamaha YZF-R1 World GP 60th Anniversary Edition 2022 dilengkapi enjin 998cc (liquid-cooled, inline 4 cylinder, DOHC; 4-valves per cylinder) dengan keluaran kuasa maksimum 200PS @ 13,500rpm dan tork maksimum 113Nm @ 11,500rpm. Enjin tersebut kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, sistem ride-by-wire YCC-T (Yamaha Chip Controlled Throttle), dan termasuklah bantuan daripada unit IMU.
Sebagai sebuah jentera yang memberi fokus kepada prestasi bertaraf litar, Yamaha YZF-R1 tampil dengan teknologi kerangka aluminium Deltabox, sistem brek berprestasi tinggi dengan Brake Control (BC) dan ABS, sistem suspensi KYB dengan ciri boleh dilaraskan sepenuhnya, dan tayar Bridgestone® RS11 untuk pengendalian yang lebih cemerlang.
Yamaha YZF-R1 turut dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan elektronik, antaranya ialah seperti EBM (Engine Brake Management), PWR (Power Delivery Mode), TCS (Lean Angle-Sensitive Traction Control System), SCS (Slide Control System), LIF (Lift Control System), LCS (Launch Control System), dan QSS (Up and Down Quick Shift System).
Kelengkapan lain termasuklah panel instrumen digital TFT berwarna sepenuhnya, sistem lampu LED sepenuhnya pada bahagian depan dan belakang, di samping pilihan aksesori asli daripada Yamaha. Untuk makluman, antara model lain yang tampil dalam versi World GP 60th Anniversary Edition ialah model Yamaha Exciter 155 VVA di pasaran Vietnam.