Yamaha YZF-R3 World GP 60th Anniversary Edition 2022 diperkenalkan di pasaran USA, harga $5,499.00

Yamaha YZF-R3 World GP 60th Anniversary Edition 2022 baru-baru ini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Eropah dan juga untuk pasaran USA. Bagaimanapun untuk pasaran USA, model tersebut dilengkapi lampu signal yang sedikit besar dan berwarna kuning terang. Mungkin kerana peraturan keselamatan yang berlainan di pasaran USA.

Untuk pasaran USA, Yamaha YZF-R3 World GP 60th Anniversary Edition 2022 ini akan tiba mulai bulan Februari 2022, dengan harga jualan $5,499.00 (RM 22,939.08). Warna yang melengkapi model sport bike itu merupakan skim warna ikonik bagi memperingati sambutan ulangtahun kali ke-60 Yamaha dalam perlumbaan MotoGP (1961 – 2021).

Ciri-ciri utama pada model Yamaha YZF-R3 World GP 60th Anniversary Edition 2022 ini ialah kemasan warna badan putih dengan grafik blok merah, emblem 60th Anniversary, jalur merah atas tangki bahan api dan ekor, fender depan berwarna merah, plat nombor depan berwarna kuning dan rim berwarna emas. Spesifikasi teknikal tiada perubahan.

Yamaha YZF-R3 World GP 60th Anniversary Edition 2022 dikuasakan enjin bersesaran 320cc dengan gandingan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghamburkan kuasa maksimum 42PS @ 10,750rpm dengan tork puncak 29.5Nm @ 9,000rpm. Tangki bahan api model tersebut mempunyai kapasiti maksimum 14 liter, dan beratnya  ialah 169 kg.

Di pasaran Malaysia, Yamaha YZF-R3 tidak ditawarkan, sebaliknya digantikan dengan model Yamaha YZF-R25 dengan enjin dalam kelas 250cc. Pastinya sangat menarik jika Yamaha YZF-R25 di pasaran negara kita turut diperkenalkan dengan skim warna ikonik World GP 60th Anniversary Edition ini. Adakah ianya akan tiba pada tahun hadapan?

Galeri : Yamaha YZF-R3 World GP 60th Anniversary Edition 2022 (Europe)

Galeri : Yamaha YZF-R3 World GP 60th Anniversary Edition 2022 (USA)