Salah sebuah model touring terbaharu yang mendapat perhatian ramai sejak awal tahun ini ialah Harley-Davidson Pan America 2021. Untuk pasaran Malaysia, model berkenaan boleh dimiliki dengan harga jualan bermula dari RM 99,900.00 sahaja. Namun bagaimana pula jika terdapat versi lain dengan harga lebih mampu milik, adakah anda berminat?
Memperkenalkan Lifan KPT400 2022, sebuah model touring serba baharu yang baru saja dilancarkan di pasaran China, dengan harga jualan bermula dari CNY 29,980 (bersamaan RM 19,445.82). Juga terdapat versi dengan spesifikasi yang lebih lengkap, dengan tanda harga jualan CNY 32,980 (bersamaan RM 21,391.70), yang masih lagi kekal berpatutan.
Melihat kepada reka bentuk dan gaya penampilannya, tidak syak lagi Lifan KPT400 telah mengambil inspirasi daripada model Harley-Davidson Pan America. Mungkin ianya cuba menjadi alternatif terhadap model buatan Amerika itu, dan mungkin mahu dikenali sebagai jentera touring terbaharu edisi Pan China. Suatu idea yang boleh dikatakan agak menarik.
Lifan KPT400 dikuasakan enjin bersesaran 400cc, dengan kuasa maksimum 42.24hp @ 9,500rpm dan tork maksimum 35Nm @ 7,500rpm. Kelajuan maksimum jentera tersebut dikatakan mencapai 158 km/j. Untuk jarak perjalanan yang lebih jauh, ianya didatangkan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 18.5 liter, yang pastinya sudah memadai.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Lifan KPT400 ini ialah sistem kunci pintar, panel instrumen digital TFT dengan teknologi sambungan Bluetooth, sistem lampu LED dengan lampu DRL LED, butang kawalan pada handlebar, sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, fork depan jenis terbalik, ketinggian tempat duduk 800 mm dan berat 211 kg.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Lifan KPT400 2022 ini akan turut dilancarkan di pasaran luar negara, atau khusus untuk pasaran China sahaja. Dengan tawaran harga yang berpatutan, spesifikasi yang boleh dikatakan serba lengkap untuk sesebuah jentera touring, ianya mempunyai harapan untuk diterima dengan baik di setiap pasaran global.
Sumber : newmotor.com.cn