Kawasaki Ninja 300 pernah dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun 2015 yang lalu, namun tidak pasti jualannya bertahan sampai bila. Di pasaran India bagaimanapun model tersebut masih lagi dijual, dengan pelancaran versi paling terbaharu Kawasaki Ninja 300 2021 yang kini dilengkapi enjin yang mematuhi piawaian emisi BS6.
Berdasarkan maklumat awal yang disiarkan di dalam laman Facebook Kawasaki India, Kawasaki Ninja 300 2021 tampil dengan skim warna KRT terbaharu, sama seperti yang diperkenalkan untuk model Ninja 125, Ninja 250, Ninja 400, Ninja 650, Ninja ZX-6R dan Ninja ZX-10R, yang mana kesemua model itu merupakan versi untuk musim 2021.
Kawasaki Ninja 300 2021 masih mengekalkan enjin bersesaran 296cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8-Valves), yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa dan tork yang dikeluarkan oleh enjin BS6 itu dikatakan sedikit rendah berbanding model sebelumnya yang ditawarkan di pasaran India sebelum ini.
Dengan pelancaran Kawasaki Ninja 300 2021 BS6 terbaharu, para peminat motosikal Kawasaki di pasaran India kini kekal mempunyai lebih banyak model pilihan, di samping model-model Ninja yang lain seperti Ninja 400 dan Ninja 650. Untuk model Kawasaki Ninja ZX-25R, nampaknya pasaran India juga masih belum menerima model tersebut.