Baru-baru ini Kawasaki Motor Indonesia telah mengumumkan skim warna baharu untuk model Kawasaki Ninja ZX-6R model tahun 2021, yang diberi nama Hijau. Warna tersebut sebenarnya masih merupakan gabungan warna Lime Green dan Ebony, atau lebih dikenali dengan nama KRT Edition. KRT bermaksud Kawasaki Racing Team.
Skim warna baharu tersebut yang kini tampil dengan rekaan lebih segar sememangnya sangat menarik sekali apabila terdapat jalur merah di badannya, bersama-sama dengan warna merah dan putih di bahagian bawah fairing. Dan kelmarin pula untuk pasaran domestik Jepun, model yang sama dengan warna yang sama turut diperkenalkan.
Untuk pasaran Jepun bermula pada tarikh 01hb. Ogos 2020 akan datang, Kawasaki Ninja ZX-6R model tahun 2021 bukan saja akan tampil dengan skim warna KRT Edition terbaharu, malah turut didatangkan dengan satu lagi pilihan skim warna baharu iaitu Pearl Crystal White / Pearl Storm Gray yang kelihatan tidak kurang menariknya.
Harga yang ditawarkan untuk Kawasaki Ninja ZX-6R 2021 untuk kedua-dua warna berkenaan adalah sebanyak 1,353,000 Yen, bersamaan RM 53,869.73 mengikut kadar tukaran semasa. Untuk makluman anda juga, harga yang ditawarkan untuk pasaran Indonesia ialah 315,700,000, bersamaan RM 91,418.80 mengikut kadar semasa.
Spesifikasi Kawasaki Ninja ZX-6R sememangnya mantap kerana model tersebut bertaraf supersport premium. Ianya dikuasakan enjin 636cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-cylinder, DOHC, 16-valves) dengan kuasa maksimum 136PS @ 13,500rpm dan tork puncak 70.8Nm @ 11,000rpm, seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan.
Antara teknologi canggih yang ditawarkan untuk model berkenaan termasuklah Assist & Slipper Clutch, Dual Throttle Valves, Economical Riding Indicator, KTRC (Kawasaki Traction Control), Power Modes, KQS (Kawasaki Quick Shifter), ABS (Anti-Lock Brake System) dan juga teknologi KIBS (Kawasaki Intelligent Anti-Lock Brake System).
Kawasaki Ninja ZX-6R 2021 mempunyai tangki bahan api dengan isian maksimum 17 liter, manakala beratnya ialah 196 kg. Anggaran kelajuan maksimumnya pula dikatakan mencapai 280 km/j, sangat impresif. Untuk pasaran Malaysia, harga asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 79,900.00, jika anda berhasrat untuk memilikinya.